Kerajaan tidak stabil, PN harus bubar parlimen – Tok Mat

Kedudukan politik ‘sangat tak stabil’, Umno gesa PN bubar Parlimen

Umno menggesa Perikatan Nasional membubarkan Parlimen kerana kedudukan politik Malaysia dikatakan “sangat tidak stabil”, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak Merdeka.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata keadaan sekarang sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang yang kritikal, termasuklah membentangkan belanjawan, sedangkan negara menghadapi kemelesetan ekonomi.

Tegasnya, lebih baik PN membubarkan Parlimen “tanpa berlengah” bagi memastikan kerajaan yang akan memerintah nanti mempunyai mandat yang diyakini.

“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi, mencipta pekerjaan, dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.

“Negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan,” katanya dalam kenyataan.

PN merupakan gabungan politik yang muncul berikutan tumbangnya kerajaan PH pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad Februari lepas, menyaksikan pelantikan presiden PPBM Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan yang baru.

Pada 17 Mei, PPBM, Barisan Nasional (BN), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman bagi mengesahkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Mohamad berkata hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari cabaran besar yang bersifat “unprecedented”.

Beliau mengingatkan, Malaysia sebuah negara demokrasi berparlimen.

“Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain. Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik,” katanya.

“Kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker