Tengku Zafrul, Rebecca bincang cabaran anjur APEC susulan COVID-19

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria hari ini membincangkan cabaran menganjurkan sidang kemuncak APEC tahun ini dengan pelbagai sekatan perjalanan susulan penularan pandemik COVID-19.

Tengku Zafrul  dalam ciapan di laman Twitternya berkata beliau menerima panggilan daripada Rebecca untuk membincangkan tentang kemajuan APEC, terutamanya dari sudut kewangan.

“Kami juga menyentuh mengenai cabaran menganjurkan APEC tahun ini dengan pelbagai sekatan perjalanan di tengah-tengah penularan COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) bermesyuarat hari ini menerusi persidangan maya bagi memuktamadkan Laporan COVID-19 mereka kepada Menteri Perdagangan APEC, yang mengandungi cadangan bagi menangani impak segera daripada pandemik itu dan meletakkan asas bagi pemulihan dan daya tahan ekonomi.

“Pengerusi ABAC Datuk Rohana (Datuk Rohana Mahmood) akan mengemukakan laporan itu pada mesyuarat Menteri-Menteri APEC Bertanggungjawab bagi Perdagangan.

“Kesimpulannya, beliau berkata walaupun tidak ada mana-mana negara yang mempunyai penyelesaian kepada pandemik itu serta kesannya, berkongsi pengalaman, membiarkan pasaran terbuka dan saling bekerjasama akan dapat mencapai hasil terbaik,” kata ABAC dalam ciapan di laman Twitternya.

Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak APEC sejak 1998. Sidang Kemuncak itu dijadualkan pada November tetapi bermula sekarang semua mesyuarat dijalankan secara maya.

APEC adalah forum antara kerajaan yang terdiri dari 21 ekonomi yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.

Ekonomi-ekonomi itu membentuk 40 peratus daripada penduduk dunia, 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dan 50 peratus daripada perdagangan dunia.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker