PRU15: Pengalaman urus krisis jadi taruhan PN



SHAH ALAM – Pengalaman menguruskan krisis pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi taruhan kepada gabungan itu terus meraih kepercayaan rakyat dalam menerajui negara.

Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar berkata, pihaknya hanya menawarkan perkhidmatan kepada rakyat lebih-lebih lagi selepas dua minggu PN ditubuhkan, negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

“Di situ sebenarnya sama ada kita sedar atau tidak, PN memberi satu manifesto tidak bertulis menunjukkan kami (dibarisi pemimpin) yang berpengalaman dan terbaik dalam menangani krisis.

“Setakat ini kalau bercakap pasal kerajaan PN, ia mendapat maklum balas baik dari rakyat,” katanya selaku panelis Wacana Sinar Siri 175 bertajuk ‘Tanpa manifesto: Apa jadi taruhan?’ yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

Wacana itu yang dihoskan Moderator, Azlan Shah Nabees Khan itu menampilkan dua lagi panelis iaitu Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar dan Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.




Mengulas lanjut, Fadwah berkata, PN tertubuh apabila runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Perdana Menterinya ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan membawa keluar partinya daripada kerajaan yang dibina.

Sementara itu, ditanya adakah tindakan kerajaan PN membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa di mahkamah dan mengagihkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada beberapa pemimpin kerajaan itu adalah termasuk dalam tawaran yang pertaruhkan kepada rakyat, katanya situasi itu berlaku dalam mana-mana kerajaan termasuk dalam PH sendiri.

Bagaimanapun, ketika ditanya dengan soalan adakah beliau secara peribadi selesa dengan situasi terbabit, Fadwah menegaskan perkara itu tidak selesa baginya.

“Tidak! Bagi saya taruhan kami sekarang adalah khidmat kepada rakyat. Kalau seseorang itu boleh melaksanakan tanggungjawabnya kenapa tidak diberi peluang kerana manifesto (tidak bertulis) itu bukan berdiri sendiri tetapi disokong oleh kebolehan, keupayaan dan juga kualiti seseorang untuk menguruskannya,” katannya.



Leave a Reply

Your email address will not be published.