KPM sedia bincang pandangan ramai berhubung takwim baru persekolahan.

KPM sedia bincang pandangan ramai berhubung takwim baru persekolahan – Dr Mah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membincangkan pandangan serta maklum balas pelbagai pihak berhubung pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020, namun apa yang penting dan perlu diberi keutamaan KPM pada masa ini adalah pengajaran dan pembelajaran (PdP) buat pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata pihaknya faham memang ada rungutan serta pandangan ramai yang berbeza mengenai perkara itu, namun menurutnya perkara penting yang perlu diberi keutamaan adalah aspek PdP, termasuk soal kesihatan dan keselamatan dalam persekitaran pandemik COVID-19.

“Itu (pandangan) akan saya bincang dengan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Jidin… rungutan yang berbangkit bolehlah kita bincang dan dengar serta cuba mencari inisiatif bagi jalan penyelesaian kepada masalah berbangkit ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) permulaan sesi persekolahan di Kolej Vokasional Ampangan di sini, hari ini, sebagai mengulas pandangan pelbagai pihak berikutan pengumuman pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 oleh KPM, semalam.

Pindaan takwim persekolahan itu melibatkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) pula dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

Sementara itu, Dr Mah berkata pembukaan semula sesi persekolahan untuk pelajar kelas peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang bermula hari ini akan menjadi pertimbangan KPM untuk menentukan pembukaan sesi persekolahan bagi pelajar dan murid lain.

“Sebab itu saya adakan lawatan, kena pastikan semuanya berjalan lancar, lepas ini kita akan buat audit dan dari situ kita boleh lakarkan tindakan seterusnya dan kita akan maklumkan bila tiba masanya,” katanya.

Dr Mah berkata secara umumnya, sesi persekolahan setakat ini berjalan lancar dan pihak sekolah juga didapati mematuhi SOP ditetapkan.

Terdahulu, Dr Mah turut mengadakan lawatan ke Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker