Dua beranak ditahan bantu siasat kes bunuh pemandu jengkaut

AMPANG – Seorang kontraktor bersama anak lelakinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang pemandu jengkaut di kolam tadahan hujan, Ukay Perdana, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 56 tahun itu mendakwa mencari mangsa di lokasi kejadian setelah gagal menghubunginya pada jam 1.30 petang.

“Mereka mendakwa telah menemui mangsa berusia 64 tahun itu dalam keadaan tertiarap dan separuh badannya tertimbus dengan tanah,” katanya melalui kenyataan media, semalam.

Mohd Azam berkata, mangsa merupakan pekerja kepada kontraktor berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati ada kesan kecederaan yang teruk pada badan dan kepala mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif dan punca kejadian.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kes berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superitenden Shahrul Nizam ditalian 019-8032684 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker