Amal doa dijauhi wabak

Share

“SELAIN mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard), saya amalkan doa jauhi wabak,” kata Hani Nazrathul Nuha Ab Halim, 17, dari Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu berkata, walaupun ghairah untuk kembali ke sekolah selepas ‘bercuti’ kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, masa sama ada rasa bimbang dengan penularan wabak Covid-19.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia akan mematuhi setiap SOP ditetapkan sepanjang berada di sekolah sebagai langkah pencegahan.

“Sebaik kerajaan mengumumkan sekolah dibuka, saya sangat teruja untuk kembali ke sekolah, namun dalam masa sama rasa takut tetap ada,.

“Ibu dan bapa sentiasa berpesan supaya menjaga SOP dan jangan terlalu rapat dengan kawan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani di sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Asisten Superintendan Nornizam Johari yang juga Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Sementara itu, Nornizam berkata, beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP oleh warga sekolah termasuk pelajar dan kakitangan sokongan.

Katanya, persiapan rapi dilakukan pihak pengurusan sekolah seperti penanda penjarakan sosial satu meter, susun atur meja dan kerusi dalam kelas dan pengambilan suhu badan di pintu masuk sekolah.

“Saya difahamkan, pergerakan pelajar terbatas termasuk pergerakan ke kantin dilakukan secara berperingkat bagi memastikan ada penjarakan sosial.

“Pemantauan secara berkala dilakukan bagi memastikan semua warga sekolah mematuhi SOP sepanjang sesi persekolahan sehingga penularan wabak Covid-19 dapat dipulihkan sepenuhnya,” katanya.

Seramai 409 pelajar sekolah berkenaan membabitkan 195 pelajar tingkatan lima dan 214 pelajar tingkatan enam memulakan sesi persekolahan hari ini.

HM

Leave a Reply