Sekutu Mahathir, Firdaus Abdullah diketepikan dari jawatan pengarang urusan Media Prima

Share

Hanya selepas tiga bulan dilantik, wartawan kanan Firdaus Abdullah dipindahkan daripada tugasnya sebagai pengarang urusan rangkaian televisyen Media Prima Bhd (Media Prima).

Melalui mesej dalaman yang dilihat Malaysiakini, Firdaus – yang diketahui dekat dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad – memberitahu dia akan mengosongkan jawatannya itu berkuat kuasa serta-merta.

“Tiga bulan adalah tempoh yang singkat, tetapi ini sangat bermakna bagi saya, terutamanya sebagai bekas wartawan penyiaran yang kembali ke TV3.

“Saya percaya saya telah melaksanakan tanggungjawab saya demi kepentingan organisasi media bebas dan pekerja profesionalnya,” tulis Firdaus dalam nota itu.

Firdaus berkata dia berbesar hati kerana mendapat sokongan yang kuat dan kerjasama daripada pelbagai pihak sepanjang tempoh perkhidmatannya di Media Prima.

Firdaus juga berharap semua kakitangan syarikat yang mengendalikan pelbagai stesen televisyen, radio, akhbar dan portal berita itu meneruskan kerjasama kepada penggantinya.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Firdaus enggan memberikan sebarang kenyataan.

Difahamkan bekas wartawan New Straits Times itu akan kekal bersama Media Prima namun dipindahkan ke bahagian lain.

Dia memulakan tugas sebagai pengarang urusan Media Prima pada 2 Mac lalu bagi menggantikan penyandang sebelum itu, Manja Ismail.

Manja pula dipindahkan ke anak syarikat Media Prima, Primeworks Studio Sdn Bhd.

Selain menjadi wartawan Firdaus juga sebelum ini seorang bloger yang mengendalikan blog Apanama.

Mkini

Leave a Reply