Sekolah normal baharu: Guru, ibu bapa, pelajar perlu patuhi SOP

Seramai 500,444 pelajar daripada 2,440 sekolah menengah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta peperiksaan antarabangsa, akan memulakan semula sesi persekolahan esok, selepas ditangguhkan hampir tiga bulan susulan penularan wabak COVID-19.

Ikuti wawancara khas Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dengan beberapa wakil media baru-baru ini, mengenai persiapan kementerian serta peranan yang harus digalas guru dan ibu bapa, dalam memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar dan guru terjamin.

S: Bilakah perancangan prosedur operasi standard (SOP) untuk pembukaan semula sekolah dimulakan?

J: Kami mulakan langkah ini (SOP) pada awal April sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac. Kami berbincang secara menyeluruh bersama pemegang taruh, komponen utama atau perbincangan secara am bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).



Saya telah melawat sekolah untuk memastikan SOP ini boleh dilaksanakan. Saya mulakan dengan dua sekolah, bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan, dan kemudiannya saya memanggil Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (Mohd Rabin Basir) mengikuti saya untuk memantau sekolah tersebut. Kemudian KKM menyatakan SOP itu bagus dan mereka percaya yang kita boleh buka semula sekolah.

S: Kenapa pilih Rabu untuk membuka semula sesi persekolahan dan bukannya Isnin?

J: Secara amnya ia bagi tujuan strategik. Bagi kami, ini satu operasi besar untuk mengerakkan, untuk membawa 500,000 pelajar ke sekolah. Ya, kami telah mencuba SOP itu dan didapati SOP itu berjalan dengan baik. Untuk sesi sekolah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor pada Rabu dan Khamis, manakala bagi lain-lain negeri dari Rabu hingga Jumaat. Sebabnya ialah jika sesuatu (yang silap) berlaku, jika kami perlu memperbaiki SOP, pasukan kami akan membetulkannya pada hari minggu tersebut.

Kami memang memilih dua hari tersebut, kerana jika ada sebarang pembaikan yang perlu dilakukan terhadap SOP atau apa-apa proses, kami ada hari minggu tersebut. Sekurang-kurangnya kami ada masa dua hari untuk melihat mana-mana isu khusus yang perlu ditangani. Jika kami bermula Isnin, kita akan buka lima hari berturut-turut, tiada ruang langsung.



S: Mengenai SOP, adakah ia akan ada perubahan dari semasa ke semasa?

J: Penilaian SOP akan berterusan kerana tiada orang yang tahu jika SOP ini boleh berjaya atau tidak, atau pun meramal apa yang akan berlaku. Kita tidak tertakluk dengan masa-masa tertentu untuk membuat penilaian semula.

Katakan, lebih daripada 2,000 buah sekolah yang akan dibuka, dan terdapat 10 isu yang perlu diberi perhatian, jadi kita akan menyusun isu-isu itu dan selepas itu kita boleh buat lampiran kepada SOP itu, bagaimana cara untuk menambah baik. SOP ini akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa, kerana ini merupakan kali pertama ia dilaksanakan.

S: Bagaimana dengan pematuhan SOP itu?



J: Saya minta semua pihak termasuk saya sendiri, Timbalan Menteri, pegawai kanan kementerian, selain pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) turun ke bawah tanpa memberitahu pihak sekolah. Ia bukan untuk menghukum, tidak sama sekali. Ia supaya kita dapat melihat sendiri persediaan secara ‘naturally’.

Pihak sekolah akan menyusun kaedahnya, siapa guru yang akan bertanggungjawab melaksana pemantauan. Sebab ini memerlukan bukan sahaja penglibatan ibu bapa dan guru, bahkan pelajar. Pihak sekolah akan perincikan tugas guru.

S: Pelajar akan melangkah ke sekolah dengan normal baharu, adakah ia akan membebankan guru yang terpaksa memantau pergerakan pelajar di sekolah?

J: Kita sedar dalam konteks sekarang ini tanggungjawab (guru) sedikit berbeza, cuma seperti mana saya sebut kita dalam normal baharu, tidak pernah siapa lalui situasi seperti ini sebelum ini, maka kita perlu bekerja dalam kekangan tersebut.



Kalau dahulu kelas 40 atau 35 pelajar, sekarang kelas hanya 20 pelajar selepas melakukan jarakan sosial, tidak pernah berlaku…ini merupakan situasi baharu dan saya yakin guru-guru amat memahami keadaan ini dan ia turut memerlukan bantuan semua pihak bukan guru sahaja, malah pelajar-pelajar juga.


S: Bagaimana pula dengan peranan ibu bapa pelajar?

J: Peranan ibu bapa amat kita hargai, mereka memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak yang tidak sihat jangan dihantar ke sekolah. Ibu bapa lebih mengetahui keadaan anak-anak di rumah, mereka perlu ambil inisiatif iaitu sekiranya anak perlu dapatkan rawatan, bawa dapatkan pemeriksaan kesihatan. Memang ada di sekolah mekanisme kita untuk memantau, tetapi risiko akan lebih tinggi.

Peranan masing-masing sudah berbeza. Seperti masuk ke sekolah sebelah pagi, kita mungkin melaksanakan kemasukan secara berperingkat pada minggu pertama ini. Berdasarkan trend luar negara, kita tengok ibu bapa cenderung untuk hantar anak ke sekolah, berbanding menggunakan pengangkutan awam. Jadi, kita bincang kemasukan awal sekolah ini akan dibuat secara berperingkat, tingkatan lima masuk jam berapa, tingkatan enam jam berapa, supaya kawasan jalan tidak sesak.




S: Bagaimana pula dengan jarakan sosial antara guru di sekolah?

J: Bilik guru agak penuh dan padat, sekolah dah buat jarakan sosial, sekolah ada bilik lain iaitu pusat sumber, perpustakaan dan sebagainya boleh digunakan sebagai bilik guru. Kebanyakan sekolah yang kami lawati dah mula pindahkan sebahagian guru ke bilik lain yang boleh digunakan, jadi tiada masalah daripada segi jarakan sosial antara guru.

— BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker