Najib jawab Dr M: Seluruh reban diberi kepada kroni ketika zaman anda

Najib Razak menjawab cabaran Dr Mahathir Mohamad dengan menyenaraikan apa yang menurutnya kontrak kerajaan kepada anak-anak dan kroninya, ketika anggota Parlimen Langkawi itu menjadi perdana menteri.

Najib antara lain menyasarkan perniagaan dua anak Mahathir, Mirzan dan Mokhzani, serta taikun Vincent Tan.

“Jangan cakap tentang mencuri atau memulangkan kembali ayam. Di bawah anda, seluruh reban diserahkan kepada kroni untuk disembelih,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Mahathir sebelum ini yang menyifatkan persetujuan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza Aziz dalam kes pengubahan wang haram melibatkan dana AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB sebagai “curi 11 ekor ayam bagi balik seekor”.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, Riza perlu menyerahkan aset yang dianggarkan bernilai AS$108 juta (RM416.6 juta).

Najib bidas analogi ’11 ekor ayam’ Mahathir

Najib berkata, bertentangan dengan dakwaan Mahathir bahawa anak-anaknya tidak menjalankan perniagaan di Malaysia sehinggalah peletakan jawatannya sebagai perdana menteri keempat pada 2003, Mirzan membina Konsortium Perkapalan pada tahun 1990-an.

Katanya, konsortium itu akhirnya memerlukan ‘bail out’ berjumlah AS$220 juta daripada Malaysian International Shipping Corporation (MISC) ketika krisis kewangan 1998 melanda. Pemegang saham terbesar MISC adalah Petronas.

“Bukankah MISC dan Petronas melaporkan kepada anda selaku perdana menteri pada masa itu?” soal Najib.

Katanya lagi, pada 1997 pula, anak keempat Mahathir iaitu Mokhzani membeli pegangan dalam Hospital Pantai Group daripada Tan untuk menjadi pemegang saham terbesar.

Beliau mendakwa syarikat itu kemudian mendapat konsesi Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) serta kontrak pembekalan untuk hospital kerajaan.

Katanya lagi, syarikat Mokhzani, Kencana Group turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali di lautan daripada Petronas pada 2002.

Beliau juga berkata syarikat Mukhriz Opcom diberi kontrak RM214 juta daripada Telekom Malaysia menerusi rundingan terus selepas arahan daripada Kementerian Kewangan.

Untuk rekod, Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri keempat pada 31 Oktober 2003 tetapi penganugerahan kontrak itu bertarikh 7 Oktober. Mahathir juga menteri kewangan pada masa itu.

Najib juga mendakwa kerajaan memberikan konsesi 20 tahun untuk pertaruhan sukan dan bola sepak kepada sebuah syarikat milik Tan tanpa tender atau kelulusan kabinet, beberapa bulan sebelum meletakkan jawatannya.

Selepas PH menjadi kerajaan, Najib mendakwa kerajaan “mempercepat” Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara di bana Opcom turut terlibat.

Saham syarikat itu melonjak selepas pengumuman tersebut, katanya lagi.

Dalam responsnya terhadap kenyataan Mahathir, Najib juga melampirkan apa yang menurutnya surat Kementerian Kewangan yang mengarahkan Telekom Malaysia memberikan kontrak berjumlah RM214 juta kepada Opcom.

Dalam blognya hari ini, Mahathir menegaskan kritikannya terhadap persetujuan antara pendakwaan dengan Riza dalam kes pengubahan wang haram itu.

“Ia seperti curi 10 ekor ayam. Anda patut pulangkan 10. Jika anda sudah makan sembilan ekor atau jual kepada orang lain, ia tidak diambil kira.

“10 ekor ayam perlu dipulangkan kepada pemiliknya. Beri balik satu masih bermakna pemilik hilang sembilan,” katanya lagi.

Beliau juga mencabar Najib untuk mengemukakan bukti dokumen berkenaan kontrak kerajaan yang diberikan kepada anak-anaknya, seperti bukti dokumen mengaitkan Najib dengan skandal 1MDB.

“Sila jelaskan urusniaga (sweetheart deal) melibatkan korni PM7 (perdana menteri ketujuh). Adakah Riza yang beli atau anak saya yang beli? Dan siapa kroni (yang dimaksudkan)?” soal Mahathir – Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker