BN, PN Berdepan Tekanan?

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kawasan berkenaan dikenali sebagai salah satu kubu kuat bagi Barisan Nasional (BN) di negeri Pahang.

DUN Chini merupakan antara empat DUN dalam kawasan Parlimen Pekan, selain DUN Pulau Manis, DUN Peramu Jaya dan DUN Bebar yang kesemuanya dikuasai BN menerusi calon UMNO.

Kerusi Parlimen Pekan pula dikuasai penyandangnya yang merupakan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak selama 11 penggal berturut-turut sehingga kini.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.



Allahyarham mewakili BN pada PRU14 bagi mempertahankan kerusi parti itu.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain (kanan) bersama dua calon Bebas, Mohd Shukri Ramli (tengah) dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin (kiri) ketika diumumkan sebagai calon bertanding bagi PRK DUN Chini pada 20 Jun lalu.

Dalam saingan tiga penjuru pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor yang memperoleh sebanyak 5,405 undi dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain (1,065 undi).

Pada 6 Jun lalu, PH memutuskan PKR tidak meletakkan calon bagi kawasan DUN Chini kerana kesukaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kempen pilihan raya yang ketat susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sebagai kubu kuat, BN berharap tiada pertandingan pada hari pengundian yang berlangsung pada 4 Julai ini, namun episod hari penamaan calon pada Sabtu lalu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN dengan dua calon Bebas.



BN mempertaruhkan anak generasi kedua Felda Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, yang merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan agar terus kekal menjadi milik BN.

Sementara itu, dua calon Bebas pula ialah bekas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Sasaran

Walaupun ada pihak berpandangan BN akan menang mudah dengan dua calon Bebas dijangkakan tidak mampu memberikan cabaran sebenar, penulis menyifatkan suasana kali ini agak berbeza.



Penularan Covid-19 yang masih menjadi kegusaran rakyat ketika ini memerlukan semua calon mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali gus mengurangkan kehangatan kempen pilihan raya mereka.

Media sosial yang menjadi platform utama semua calon berkempen terutama BN pastinya mahu mengekalkan jumlah majoriti besar diperoleh calon.

Adakah SOP ketat SPR dan pandemik Covid-19 mampu menghalang hasrat mereka?

Dari segi persediaan, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan meletakkan sasaran menang besar atau ‘menang bergaya’ kerana jangkaan itu diperkukuhkan dengan sokongan pengundi Pas yang bersama di bawah Muafakat Nasional.



Berdasarkan jangkaan pemerhati politik, Mohd Sharim sepatutnya mampu memperoleh jumlah undi melebihi 10,000 sekiranya gabungan jumlah undian untuk Allahyarham Abu Bakar dan calon Pas pada PRU14 lalu diambil kira.

Namun, sekiranya BN dan Muafakat Nasional bersikap sambil lewa bagi memastikan peratusan keluar mengundi pada 4 Julai ini kekal tinggi, harapan BN untuk mendominasi keputusan PRK DUN Chini mungkin lebur.

Ditambah dengan ketiadaan calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang mungkin menyebabkan pengundi luar yang menyokong Muafakat Nasional berasakan tiada keperluan untuk pulang mengundi.

Senario itu boleh menjejaskan harapan ‘kemenangan bergaya’ yang dilaung-laungkan Wan Rosdy.



Tanda aras

Pandangan tersebut dipersetujui penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff yang menyifatkan bukan sahaja BN, bahkan parti dalam Perikatan Nasional (PN) perlu berusaha bersungguh-sungguh memastikan seramai 20,990 pengundi DUN Chini dapat keluar mengundi demi membantu kemenangan Mohd Sharim.

Menurutnya, BN dan PN perlu menyedari PRK kali ini juga merupakan satu tanda aras pemula kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dinilai sama ada rakyat selesa dengan kerajaan tersebut atau sebaliknya.

Syed Agil

“Sekiranya pengundi menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan PN, pengundi luar akan balik dan keluar mengundi. Jika sebaliknya berlaku, saya bimbang trend ini akan berterusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).



“Selain itu, saya melihat PRK DUN Chini adalah satu ujian besar bagi mengenal pasti tahap dinamika kredibiliti Najib untuk menarik sokongan pengundi yang lebih besar kepada calon BN kelak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib menegaskan, calon BN hanya boleh dianggap ‘menang bergaya’ berdasarkan dua indikator penting iaitu peningkatan bilangan undi dan peningkatan perbezaan margin undi majoriti yang diperoleh calon BN berbanding dua calon Bebas.

Menurutnya, satu kajian semula perlu dilakukan BN dan PN sekiranya calon BN gagal menang besar kerana gabungan terbaharu parti-parti Melayu itu sepatutnya membawa kepada pertambahan majoriti undi drastik di PRK DUN Chini.

Md Shukri

“Dengan Covid-19 dilihat tidak memberi impak kepada perjalanan PRK DUN Chini, PN sepatutnya menjadikan PRK ini sebagai platform menunjukkan keampuhan gabungan itu bagi mendepani PRU15.

“Saya belum nampak ada penyatuan di bawah PN sehingga kini dengan parti kerajaan dilihat bergerak secara bersendirian, walhal rakyat dipromosi dengan pembentukan kerajaan PN.

“Bagi saya, sudah tiba masanya parti-parti dalam PN mengetepikan sentimen politik dengan bersama-sama berkempen memenangkan calon BN kerana persepsi rakyat terhadap gabungan itu akan terhakis sekiranya masing-masing bergerak dengan ego sendiri,” kata beliau.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker