Tiada jaminan Dr M takkan kembali bersama ‘pengkhianat’, kata pemimpin Pemuda PKR

Seorang pemimpin Pemuda PKR mencabar dakwaan Dr Mahathir Mohamad mempunyai lebih banyak sokongan ahli Parlimen berbanding Anwar Ibrahim, ketika gabungan itu yang berusaha kembali berkuasa masih bergelut dengan isu calon perdana menteri.

Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman mengulas dakwaan dalam kalangan sekutu Pakatan Harapan yang menyokong Mahathir kembali menjadi perdana menteri, beliau boleh mendapatkan sokongan ahli Parlimen.

“Yang mengherankan kenapa parti-parti sahabat hanya menekankan supaya Anwar menyokong Mahathir, tetapi tidak sebaliknya?

“Jika cakap-cakap ini benar, Mahathir sebenarnya tidak memerlukan sokongan PKR mahupun PH untuk kembali berkuasa,” katanya dalam kenyataan panjang menceritakan krisis politik yang tercetus awal tahun ini.

Kepimpinan PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, bersama sekutu mereka Warisan serta 5 ahli Parlimen yang dipecat PPBM, kini buntu dalam isu calon perdana menteri.

Semalam, Anwar mengakui ada kalangan pemimpin PH yang tidak mempercayai Mahathir, beberapa hari selepas partinya berbeza pendapat dengan DAP dan Amanah yang menolak ahli politik veteran itu kembali menjadi calon PM gabungan itu semula.

Syed Badli berkata, tiada jaminan Mahathir tidak akan kembali bersama “pengkhianat” dalam usahanya untuk kembali menerajui negara buat kali ke-3.

Katanya, Mahathir sendiri bergelut mendapatkan sokongan ahli Parlimen dan beliau tidak terkejut dengan khabar angin rundingan sulit antara Mahathir dan “pengkhianat”, istilah digunakan PKR ke atas bekas timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali serta penyokongnya susulan rampasan kuasa pada Februari lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

“Persoalannya, adakah sanggup parti-parti sahabat seperti DAP dan Amanah kembali bersekongkol dengan para pengkhianat?” soalnya sambil menambah itu sebabnya PKR menolak Mahathir dicalonkan sebagai perdana menteri.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker