Data percuma tidak terpakai untuk layari media sosial, strim video, muzik – SKMM


Peruntukan data 1GB percuma setiap hari tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstrimen video, permainan dalam talian dan penstriman muzik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebaliknya berkata, ia hanya boleh digunakan untuk mengakses platform sidang media serta menguruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menerusi e-mel sepanjang hari.

Justeru, SKMM menasihatkan agar pelanggan perkhidmatan telekomunikasi khususnya pelajar, guru dan ibu bapa supaya menggunakan peruntukan data percuma itu dengan sebaik-baiknya.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa mengalu-alukan bantuan dari syarikat pemberi perkhimatan yang prihatin untuk turut sama membantu menjayakan PdPR iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM).

“Oleh itu pelanggan perkhidmatan telekomunikasi terutamanya golongan pelajar, guru dan ibu bapa, dinasihatkan untuk menggunakan peruntukan 1GB data percuma setiap hari atau 30GB data percuma sebulan, sebaik-baiknya bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.

“Peruntukan data percuma sejak April 2020 ini adalah tambahan pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang media serta menguruskan bahan-bahan pengjaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu,” kata SKMM menerusi kenyataan hari ini.

Menurut SKMM lagi, pihak industri telekomunikasi turut menyediakan pakej Langganan Khas untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan penuntut Institut Pengajian Tingga (IPT) bermula 6 Januari lalu hingga akhir April 2021.

“Pakej prabayar oleh Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan TM ini menawarkan pas data 15GB denngan harga serendah RM20 sebulan.

“Pengguna pakej ini turut dapat menikmati peruntukan 1GB data percuma tambahan setiap hari seperti juga pelanggan pakej lain,” kata SKMM.

Selain itu, tambah suruhanjaya tersebut, YTL Communication Sdn Bhd (YTL) juga menawarkan pakej istimewa dengan menyediakan kad sim percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma termasuk telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

Justeru SKMM berharap agar usaha itu dapat mengurangkan beban ibu bapa, guru dan pelajar untuk mengikuti PdPR serta memastikan pendidikan generasi muda diberi keutamaan sewajarnya.

Sesi persekolahan secara atas talian atau PdPR bermula 20 Januari lalu berikutan pandemik Covid-19.

Hanya pelajar SPM dan STPM dan yang akan menduduki peperiksaan awam tidak lama lagi perlu menghadiri sesi pembelajaran secara fizikal di sekolah.

Data 1GB percuma itu adalah antara inisiatif kerajaan sebelum ini dan dilanjutkan menerusi Pakej Bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumum baru-baru ini. MG

Tiada kompromi, KSU akan siasat isu Twitter SKMM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker