Pengundi Chini Jangan Ambil Risiko Tinggi Untuk Beri Peluang Kepada Calon Bebas – Nizar

Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berharap pengundi tidak mengambil risiko yang tinggi untuk memberi peluang kepada calon-calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Chini ini sebaliknya terus memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain.

Tegasnya calon-calon Bebas ini bukan sahaja tidak di dukung oleh sebuah kerajaan yang kuat malah agenda sebenar mereka bertanding kali ini pun tidak diketahui.

Tambah beliau lagi pilihan raya umum lalu seharusnya menjadi pengajaran buat semua pihak agar terpedaya buat kali kedua di mana peluang yang diberikan kepada calon selain BN ternyata tidak menguntungkan rakyat.

“Saya dengan rendah diri merayu dengan semua pengundi agar undilah BN sebagai satu-satunya parti yang telah terbukti kebolehannya menjuarai isu-isu rakyat, menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti kata Menteri Besar Pahang… tiada janji tapi lihatlah bukti. Kita tidak janjikan bulan dan bintang.

“Undilah parti BN yang telah terbukti kemampuan, keikhlasan dan kesungguhan dalam membela nasib rakyat,” katanya dalam program Diskusi #PRKChini N23 di sini, Ahad malam.

PRK DUN Chini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN yang menampilkan calonnya, Mohd Sharim dengan dua orang calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

Mengenai calon BN yang ditampilkan pula, Mohd Nizar berkata yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan UMNO dan BN begitu bermakna dan dianggap sebagai pembaharuan dalam politik tempatan serta menjadi bukti kepada peranan anak muda yang semakin diberi perhatian.

Jelasnya calon yang dipertaruhkan BN ini adalah seorang anak tempatan yang dihormati ramai, mempunyai ‘track record’ yang bersih dan juga ‘ikon’ pemuda di kalangan Majlis Belia Felda.

Menjawab soalan tentang dirinya yang tidak dicalonkan walaupun beliau antara calon pilihan untuk bertanding pada PRK kali ini, Mohd Nizar berkata beliau menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan sentiasa komited untuk memenangkan siapa sahaja calon yang menjadi pilihan BN.

“Saya terima hati yang terbuka dan anggap ini ketentuan dari Allah SWT dan melihat setiap yang berlaku itu dari sudut positif. Kita mesti menjadi team player yang baik dan menjadi orang UMNO yang setia dan sayangkan parti,” ujarnya.

SPR menetapkan 4 Julai hari pengundian biasa dan 30 Jun hari pengundian awal yang melibatkan 20,990 orang pengundi terdiri daripada 20,972 orang pengundi biasa dan 18 orang pengundi awal.

Pada PRK DUN Chini ini PKR selaku wakil dari Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon bertanding, tidak seperti PRU-14 lalu. –UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker