Pengajian Sifat 20 bukan daripada falsafah Yunani

Oleh Ustaz Hafiz Za’farani

DAKWAAN sifat 20 dari falsafah Yunani adalah dakwaan palsu dan jahat daripada golongan penentang manhaj pengajian sifat 20. Dakwaan ini dapat dibantahkan dengan hujah berikut:

Pertama: Sesiapa saja yang mempelajari sifat 20 pasti mengetahui setiap sifat bersandarkan kepada dalil naqli (al-Quran dan Hadis). Tiada suatu sifat direka-reka berasaskan fikiran semata-mata. Sebagai contoh, sifat Mukhalafatuhu taala lilhawadith (bersalahan Allah taala dengan segala yang makhluk), sifat ini bersandarkan kepada dalil surah Asy-Syura ayat 11 yang bermaksud “Tiada seperti-Nya sesuatu pun.” Begitu juga sifat Wahdaniah yang bersumberkan firman Allah pada surah Al-Ikhlas ayat 1. Semua sifat 20 mempunyai sandaran daripada dalil naqli yang jelas dan terang.

Kedua: Tiada satu sifat pun dihuraikan berlandaskan kaedah dan penghujahan daripada ahli falsafah Yunani. Bahkan ahli falsafah Yunani sebahagiannya cenderung kepada penafian agama dan melepaskan diri daripada terikat dengan mana-mana agama seperti Eficure dan pengikutnya. Sedangkan perbincangan sifat 20 memberi penekanan kepada kesempurnaan sifat Tuhan sekalian alam.

Ketiga: Tokoh falsafah Islam bukan terdiri daripada ulama Asyairah yang menyusun sifat 20. Antara ahli falsafah Islam ialah Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn Rushd. Tokoh ini banyak membahas, menterjemah dan menerapkan falsafah Yunani kuno dalam kitab-kitab mereka. Mereka mempunyai asas perbincangan tersendiri yang berbeza dengan penghujjahan sifat 20. Mereka juga tidak membahaskan sifat 20 dalam kitab mereka atau memasukkan anasir falsafah Yunani kuno dalam sifat 20.
–– ADVERTISEMENT ––

Ini menunjukkan golongan ahli falsafah Islam yang terkesan dengan falsafah Yunani adalah berbeza dengan golongan ulama akidah yang membahaskan sifat 20. Bahkan tidak sedikit pandangan ahli falsafah Islam dikritik oleh ulama Asyairah seperti Imam Al-Ghazali yang mengkritik keras ahli falsafah dalam kitabnya Tahafut Al-Falasifah.

Keempat: Dalil naqli yang menjadi sumber kepada Asyairah ialah al-Quran dan Sunah. Bahkan As-Sunah yang menjadi dalil juga mempunyai syarat yang ketat seperti hadis yang qat’ie thubut (diyakini penyabitannya) dan qat’ie dilalah (diyakini kefahamannya).

Oleh itu, hadis Ahad (tidak mencapai qat’ie thubut) tidak diterima sebagai sumber kepada pokok akidah. Ini menunjukkan pengajian sifat 20 amat menekankan aspek ketelusan dalil yang diguna pakai. Berbeza dengan golongan penentang sifat 20 yang menjadikan hadis ahad, hadis mudhtarib, hadis dhaif dan qaul dhaif sebagai asas akidah mereka.

Kelima: Ulama Asyairah ramai daripada kalangan ahli hadis besar seperti Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Al-Baihaqi, Imam Ibnu Jauzi, Imam As-Sanusi, Imam Asy-Suyuthi, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan lain-lain. Jika benar dakwaan sifat 20 daripada falsafah Yunani maka sudah tentu ahli hadis ini tidak akan menerimanya sebagai pegangan akidah mereka.

Keenam: Jika ada sedikit persamaan antara sifat 20 dan falsafah Yunani maka ia tidak menggambarkan sifat 20 diasaskan daripada falsafah Yunani. Hal ini kerana akidah dan falsafah berkongsi sifat sama iaitu membentuk kepercayaan dan keyakinan. Bahkan kita akan dapati pengajian akidah di sesetengah universiti dinamakan dengan Ijazah Usuluddin dan Falsafah. Atas dasar ini persamaan yang ada tidak menunjukkan sifat 20 dicedok daripada falsafah Yunani. Bahkan sifat 20 mempunyai asas dan kaedah yang jauh berbeza dengan falsafah Yunani.

Ketujuh: Pengajian sifat 20 memperjuangkan monoteisme (kepercayaan Tuhan tunggal). Hal ini berbeza dengan agama di Yunani yang berasaskan politeisme (kepercayaan banyak tuhan) iaitu dikenali sebagai 12 Dewa Olympus seperti Zeus, Poseidon, Apollo dan lain-lain. Bagaimana orang yang mempunyai akal sihat boleh mendakwa sifat 20 diambil daripada falsafah Yunani?

Berdasarkan keseluruhan hujah, kita akan dapati dakwaan sifat 20 diambil daripada falsafah Yunani Greek adalah tidak benar. Tuduhan ini muncul sekadar memburukkan silibus pengajian sifat 20 di mata orang awam. Sedangkan tuduhan mereka tidak berasas sama sekali. Semoga kita dilindungi daripada tuduhan sedemikian.

Penulis Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker