Makanan dalam rok

ROK merupakan kata nama yang bermaksud belukar menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Ayat contoh yang diberikan dalam glosari dialek Kelantan adalah “ore curi tu nusuk dale rok” yang bermaksud “pencuri itu bersembunyi dalam belukar”.

Penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. PKP satu terpaksa dilanjutkan hingga ke PKP empat dan kemudiannya disambung pula dengan PKP Bersyarat (PKPB) bermula 12 Mei hingga 9 Jun 2020 dan kini PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos 2020.

Pada peringkat awal PKP, ramai yang panik dan berpusu-pusu memborong keperluan rumah dan bekalan makanan serta bahan mentah sehingga banyak barang terutama bahan makanan kehabisan stok.

Dalam keadaan ramai orang panik ketika itu, saya dapati pemilik pusat pelancongan agro Min House Camp di Kubang Kerian, Wan Noriah Wan Ramli dan keluarga, tidak sedikit pun berasa panik. Wan Noriah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yah mempunyai ‘peti makanan’ dalam rok dan juga dalam perut bumi.

Kak Yah telah mengusahakan kebun ulam-ulaman dan sayuran secara alami atau organik di Min House Camp. Sekali pandang, kawasan kebun itu tidak ubah seperti belukar tetapi sebenarnya ia merupakan pelbagai jenis tanaman herba dan ulam-ulaman tradisional.

Kak Yah menggunakan baja semula jadi. Daun-daun yang gugur disapu dan dikumpulkan kemudian diletakkan dalam reban ayam, angsa dan itik milik keluarganya. Daun-daun kering tersebut akan dikais oleh haiwan ternakan hingga bercampur dengan najis. Selepas sebulan, daun-daun kering yang sudah hancur dan sebati dengan najis menjadi baja. Baja semula jadi itu diletak di pangkal pokok dan tanaman.

Hasil penelitian beliau menunjukkan tanaman yang ditanam secara alami lebih tahan terhadap serangan hama dan penyakit. Oleh sebab tiada racun, haiwan pemangsa seperti burung turut membiak dengan banyak dan dapat memakan serangga. Pelbagai jenis tanaman yang ditanam juga menjadi tarikan dan sumber makanan bagi burung. Begitu juga katak-katak yang hidup dengan memakan serangga.

Kak Yah tidak menggunakan racun serangga kerana racun tersebut bukan sahaja membunuh serangga perosak tetapi turut membasmi serangga yang bermanfaat sekali gus merosakkan keseimbangan ekologi. Bukan itu sahaja, Kak Yah juga memelihara pelbagai spesies lebah kelulut yang turut membantu pendebungaan pokok-pokok dan tanaman. Madu kelulut yang diperoleh juga dapat dimakan serta dijual.

Satu lagi yang menarik perhatian saya adalah kaedah akuaponik yang dipraktikkan di Min House Camp. Sebelum ini, saya hanya tahu tentang hidroponik iaitu penanaman dalam larutan nutrien tanpa menggunakan tanah. Dengan kaedah hidroponik, tanaman tidak perlu disiram. Selain menjimatkan masa, tanaman juga sentiasa dibekalkan dengan air dan nutrien.

Kaedah akuaponik menggabungkan konsep pemeliharaan ikan dan tanaman dalam satu tempat. Sayuran ditanam di atas rak yang ditempatkan di atas akuarium. Jenis ikan yang dipelihara juga pelbagai. Tanaman mendapat nutrisi daripada hasil fermentasi kotoran ikan. Tiada baja atau nutrisi tambahan diperlukan.

Hampir setiap petang bermula Ramadan yang lalu hingga Syawal kini, saya singgah di Min House Camp untuk masuk ke dalam rok mengutip ulam-ulaman dan sayuran. Alhamdulillah, sungguh bumi ALLAH ini sangat kaya. Tidak pernah luak makanan dalam rok walau dipetik setiap hari.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker