Lelaki muat naik kejadian bakar kereta ditahan

KEPALA BATAS – Polis menahan seorang lelaki selepas didapati memuat naik maklumat tidak benar di media sosial sehingga tular berhubung kejadian kereta dibakar setelah melanggar dua remaja di Jalan Ara Kuda di sini, awal pagi Jumaat lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Padang Menora di sini oleh sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil soal siasat awal, lelaki tersebut mengakui memuat naik maklumat berkenaan di akaun Facebook miliknya tanpa memeriksa kesahihannya.

“Dia mengaku telah memuat naik maklumat tidak benar berhubung kejadian tersebut ke Facebook sehingga tular di media sosial. Suspek turut mengaku melakukan perkara itu tanpa menanti sebarang fakta yang jelas daripada pihak berkuasa.

“Kita turut merampas telefon bimbit miliknya yang dipercayai digunakan untuk memuat naik maklumat berhubung kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan dua abang mangsa kerana dipercayai bertindak agresif di lokasi kejadian selain membuat komen negatif di Facebook berhubung kejadian tersebut.

“Mereka yang berusia 19 dan 29 tahun itu ditahan secara berasingan di dua lokasi berbeza pada petang semalam. Kedua-dua suspek merupakan abang kepada mangsa yang juga pasangan kembar itu..

“Salah seorang daripada suspek ini juga ada merakam kejadian bakar kenderaan terbabit. Bagaimanapun, kedua-dua suspek masih enggan memberikan kerjasama untuk memberi maklumat berhubung perbuatan membakar kenderaan tersebut,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sementara itu, dua suspek lagi disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan orang awam supaya tidak mudah untuk menerima sebarang maklumat yang belum pasti kesahihannya dan terus memuat naik di laman sosial sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat setempat. Jangan kongsi apa sahaja maklumat jika tidak pasti maklumat itu benar atau tidak,” katanya.

Terdahulu, polis menafikan kemalangan melibatkan pasangan kembar di Jalan Ara Kuda di sini, Khamis lalu disebabkan oleh pemandu mabuk seperti yang tular di laman sosial sejak Jumaat lalu.

Kejadian yang berlaku pada jam 9.50 malam itu dikatakan berlaku selepas pemandu kereta berusia 56 tahun terbabas kerana mengelak haiwan melintas.

Akibat kejadian itu, wanita berkenaan yang juga pekebun sayur dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan dua buah motosikal yang ditunggang pasangan kembar, Muhd Asri Roslan dan Muhd Azri Roslan, 14.

Pemandu wanita yang membuat laporan kemalangan tersebut telah menjalani ujian saringan pernafasan dan didapati dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Polis mempercayai berita kemalangan itu ditularkan di media sosial dengan dakwaan wanita itu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menimbulkan kemarahan penduduk kampung yang kemudiannya bertindak membakar kereta wanita berkenaan.

 

Leave a Reply