Kerosakan komponen mekanikal ganggu LRT laluan Kelana Jaya

KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pagi tadi berpunca daripada tren yang tidak boleh bergerak di Platform Pasar Seni kerana masalah berkaitan komponen mekanikal.

Ketua Pegawai Operasi Laluan Kelana Jaya Rapid Rail Sdn Bhd (RapidKL), Ismail Abdullah berkata, komponen mekanikal tersebut sepatutnya menyalurkan bekalan kuasa dari trek ke tren namun ia tidak berfungsi sekali gus menyebabkan tren tidak boleh bergerak.

“Kejadian kira-kira jam 9 pagi di Platform Pasar Seni itu berlaku kerana beberapa komponen mekanikal iaitu ‘traction rod’ dan pemungut kuasa pada tren yang patah dan tersekat pada sumber kuasa trek dan menghalang pergerakan tren sekali gus menyebabkan litar pintas.

“Pihak penyelenggaraan berjaya mengeluarkan komponen yang patah tersebut bagi membolehkan punca kuasa di trek dikembalikan,” katanya pada sidang media khas di Kompleks Rapid Rail Subang, hari ini.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya pada jam 12.20 tengah hari, selepas proses memindahkan tren yang terjejas selesai dilaksanakan, katanya.

Beliau berkata, sepanjang proses baik pulih tersebut, Pusat Kawalan Operasi Rapid Rail telah menjalankan Pelan Perkhidmatan Alternatif bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

“Pelan perkhidmatan alternatif itu adalah perkhidmatan patah-balik dari Stesen Gombak ke Stesen KLCC, dari Stesen Putra Heights ke Stesen Bangsar dan Perkhidmatan tren perantara di Platform 1 dari Stesen Bangsar ke Stesen Masjid Jamek dan ke Stesen KLCC,” katanya.

Tambah beliau, penumpang yang terjejas juga ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Kelana Jaya. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker