Yakinlah kemenangan semakin hampir

Yakinlah kemenangan semakin hampir

Oleh Dr Afnan Faiz

Konflik antara Israel dan Palestin kembali bergolak. Peperangan ini menyebabkan nyawa orang awam yang tidak berdosa terkorban. Kanak-kanak menjadi yatim apabila bapa mereka meninggal dunia akibat dibom dan ditembak dengan penuh kekejaman tanpa belas ihsan dan simpati.

Wanita menjadi balu dan tiada lagi tempat pergantungan selepas suami yang menjadi ketua rumah tangga terbunuh dalam peperangan ini. Kanak-kanak yang sepatutnya pada usia ini bermain dengan penuh keriangan, tapi kini berdepan ketakutan kerana pada bila-bila masa sahaja mereka boleh menemui ajal kematian. Data dari sumber Kementerian Kesihatan Palestin setakat 20 Oktober 2023 menunjukkan angka kematian dalam kalangan warga Palestin ialah 4,137 iaitu 1,524 kanak-kanak dan 1,000 wanita. Manakala penduduk Palestin yang cedera 13,000.

Bangunan dan rumah untuk berteduh musnah akibat serangan roket dilepaskan pihak Zionis. Kekejaman Zionis Israel terserlah apabila mereka menyasarkan serangan kepada hospital. Kesan serangan itu menyebabkan hospital kekurangan segala kemudahan dan peralatan perubatan serta tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Bekalan ubat-ubatan juga sangat terhad pada waktu ini. Penduduk Palestin juga kekurangan bahan makanan yang menyebabkan mereka dalam kelaparan. Situasi terkini di Gaza semakin meruncing apabila bekalan elektrik dan air terjejas teruk. Rakyat Palestin berada dalam kegelapan pada waktu malam kerana tiada bekalan elektrik. Begitu juga kemudahan rangkaian telekomunikasi terputus di kebanyakan kawasan. Malah, keadaan semakin parah apabila pihak Israel menyasarkan serangan kepada semua pihak termasuk wartawan dan pasukan perubatan.

Sehubungan itu, semua pihak perlu bertindak dengan memberi bantuan dan desakan supaya peperangan dan keganasan Zionis Israel ini diberhentikan segera. Kita sebagai umat Islam yang bersaudara perlu membantu perjuangan rakyat Palestin. Kita perlu tunjukkan solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin. Sebagai umat Islam, kita perlu mengangkat tangan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Pada saat ini doa ke hadrat Ilahi oleh seluruh umat Islam dari segenap pelusok dunia sangat ditagih rakyat Palestin. Doa seseorang saudara di belakang saudaranya antara doa yang akan dimakbulkan Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Doa seorang hamba yang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan, maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu).” (Hadis riwayat Muslim)

Orang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat sebatang tubuh. Apabila satu anggota sakit, maka anggota badan lain akan merasai kesakitan tersebut. Begitu juga situasi terkini di Gaza, Palestin. Bertitik tolak daripada perkara tersebut, badan berautoriti seperti jabatan agama Islam negeri menyediakan teks Khutbah Jumaat berkaitan isu Palestin pada hari Jumaat baru-baru ini iaitu pada 13 Oktober 2023.

Seterusnya, pihak berkuasa agama Islam mengeluarkan surat arahan kepada masjid agar umat Islam membaca doa qunut nazilah setiap kali solat fardu. Hal ini bertepatan dengan sunnah ditunjukkan Rasulullah SAW apabila berlaku pembunuhan terhadap beberapa sahabat yang terdiri daripada penghafaz al-Quran. Baginda mendoakan kecelakaan pihak musuh selama sebulan semasa solat subuh. Perkara sama telah dilakukan dua Khulafa’ al-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar ketika memerangai Musallamah al-Kazzab dan Saidina Umar al-Khattab ketika memerangi orang nasrani.

Selain daripada itu, kita sebagai umat Islam boleh menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan untuk membantu saudara seakidah di bumi Palestin. Bantuan ini akan meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya disakiti. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Namun begitu, semua pihak perlu berhati-hati agar tidak tertipu dengan pihak yang mengambil kesempatan atas konflik ini. Mungkin wujud scammer di media sosial yang akan menipu dengan cara mewujudkan tabung atas nama perjuangan rakyat Palestin, tetapi pada hakikatnya untuk tujuan kepentingan peribadi. Sehubungan itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin perlu menyumbang dalam tabung kemanusian dilancarkan pihak berkuasa dan NGO berdaftar yang dipercayai sahaja. Hasil sumbangan orang ramai dihulurkan terus kepada pihak berkuasa Palestin demi kelangsungan perjuangan suci mereka.

Justeru, semua pihak perlu berganding bahu membantu saudara kita di bumi Palestin. Yakinlah, kemenangan yang menjadi milik rakyat Palestin semakin hampir. Mereka berjuang dengan cara bertempur untuk pertahan diri, keluarga dan tanah air tercinta. Berbahagialah pejuang-pejuang yang mati syahid. Mereka bakal mendapat rezeki yang tidak putus-putus daripada Allah SWT sebagai mana firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 169 yang bermaksud: dan janganlah sama sekali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah telah mati. Bahkan mereka hidup dan dikurnikan rezeki di sisi tuhan mereka.”

Penulis Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institusi Pendidikan Guru Kampus Darulaman

Yakinlah kemenangan semakin hampir

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dulu Pelakon Kini Pramugara

Ingat saya lembik – Shila Amzah

Transgender dipantau tentera saat tunai umrah (Video)

Wanita tayang punggung, payudara di Sabah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker