Ahli PAS akan digerak keluar mengundi calon BN

Share

PAS Pahang akan memastikan jumlah maksima pengundi PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 turun mengundi calon Muafakat Nasional (MN) daripada Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N23 Chini.

Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata ada sekitar 5,400 pengundi PAS di Dun Chini.

Katanya, PAS Pahang akan membantu BN sepanjang tempoh kempen PRK N23 Dun Chini.

Ditanya sama ada akan berlaku persaingan sengit antara calon BN dengan dua pesaing dari calon bebas, beliau berkata persaingan antara calon kurang sengit.

“Taklah sengit, calon bebas kan., tapi tak (boleh) pandang ringan.

“Kita akan berusaha supaya calon dari Muafakat Nasional menang pada PRK ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Hari ini merupakan hari penamaan calon PRK N23 Dun Chini yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara, di sini.

Pada PRK ini menyaksikan tiga penjuru iaitu calon BN, Mohd Shahrim Md Zain, 41 dan dua calon bebas; Dato’ Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK Chini adalah pilihan raya pertama yang diadakan sejak negara dilanda wabak pandemik Covid-19.

Ia diadakan susulan kematian penyandang Dato’ Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.- HARAKAHDAILY 20/6/2020

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!