Letusan Gunung Merapi dijangka tidak jejas kualiti udara Malaysia

Share

KUALA LUMPUR, 21 Jun  — Letusan gunung berapi yang berlaku dua kali di Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia pagi tadi, dijangka tidak menjejaskan kualiti udara Malaysia walaupun debunya mencapai sehingga 6,000 meter ke udara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata ini kerana angin pada paras debu itu bertiup ke arah selatan dan barat daya, malah tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara ini.

“Keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Beliau berkata sehingga 7.00 malam ini, empat lokasi di bandar utama menunjukkan bacaan IPU antara 0 hingga 50 atau kategori baik iaitu Seremban, Negeri Sembilan (47); Kota Tinggi, Johor (48); Kota Kinabalu, Sabah (21); dan Kuching, Sarawak (18).

Tujuh kawasan merekod kualiti udara sederhana, bacaan IPU melebihi 51 hingga 100 iaitu Batu Muda, Kuala Lumpur (56); Petaling Jaya, Selangor (54); Putrajaya (52); Bandaraya Melaka, Melaka (51); manakala masing-masing mencatat bacaan 58 di Tasek Ipoh, Perak; Seberang Perai, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Dilaporkan, Gunung Merapi meletus pada 10.13 pagi dan 10.27 pagi tadi.


Sehingga kini, Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan (BPPTKG) Yogyakarta masih menetapkan status Gunung Merapi pada tahap waspada.

— BERNAMA

Leave a Reply