Kesatuan dalam perbezaan Fiqh Artikel

ALIRAN fikiran fiqh yang berlainan muncul kerana perbezaan memahami ajaran yang terkandung di dalam sumber hukum utama iaitu Al Quran dan Al Sunnah yang tidak bersifat definitif atau ‘qatie’.

Perbezaan mentafsirkan ‘dalalah al zan’ atau dalil-dalil yang tidak muktamad menyebabkan munculnya perbezaan pandangan ini.

Pendekatan yang berbeza diambil oleh imam-imam juga menyebabkan pandangan yang dikeluarkan itu menjadi berbeza.

Ia hasil pendekatan yang berlainan seperti mementingkan zahir lafaz berbanding maksud lafaz, sikap berhati-hati dan memudahkan, terdapat juga kalimah di dalam nas-nas mempunyai beberapa makna serta keyakinan terhadap sesuatu periwayatan hadis berbanding hadis yang lain.

Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki menjadi ikutan khalayak awam dalam persoalan fiqh.

Perbezaan pandangan yang menjurus kepada pertumbuhan semua mazhab fiqh ini adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam itu sendiri.

Bagaimanapun, pertikaian mazhab ini seringkali disalahertikan masyarakat umum dan kadangkala menjadi sumber perpecahan umat Islam.

Tidak kurang juga dari lipatan sejarah kita akan dapati umat Islam bersengketa kerana perbezaan pandangan di kalangan mereka.

Oleh yang demikian perspektif yang betul di dalam menelusuri landskap perbezaan pandangan ini perlu difahami masyarakat Islam.

Umat Islam perlu memakai lensa Hukum Syarak apabila berhadapan dengan perbezaan pandangan ini kerana di dalam agama lain perbezaan yang ketara berlaku sehingga tidak mengakui golongan lain termasuk dalam agama mereka.

Ia amat berbeza dalam Islam. Umpamanya solat jemaah di Masjidil Haram ketika ini diimamkan oleh seorang imam sahaja berbanding suatu ketika dahulu solat jemaah ini dilakukan mengikut imam mazhab masing-masing di penjuru masing-masing.

Kesepakatan bersolat jemaah dengan seorang imam sahaja menganjak paradigma para ulama supaya dapat bersatu di dalam hal-hal agama yang lain.

Seharusnya mazhab adalah institusi pendidikan aliran fiqh bagi mentafsirkan dalil-dalil syariah. Ia metodologi fiqh untuk mengeluarkan hukum yang masih belum disepakati lagi.

Asas pandangan aliran fiqh ini sebenarnya adalah bertitik tolak dari keyakinan Imam dalam berijtihad, namun sekiranya terbukti ijtihad tersebut tidak lagi sesuai mengikut keadaan setempat atau semasa dan terdapat dalil yang lebih kuat, maka ijtihad tersebut boleh ditolak.

Hal yang demikian amat jelas kerana tidak disyaratkan mana-mana mazhab mengikut segala ijtihad dalam sesuatu mazhab tetapi harus berpindah ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu.

Bagaimanapun, ikutan tersebut hendaklah diasaskan kepada dalil-dalil yang menjustifikasikan seseorang itu beralih ke mazhab lain.

Ia tidak hanya dilakukan semata-mata mencari perkara yang mudah berlandaskan nafsu atau sampai membawa kepada talfiq yang dilarang.

Begitu juga ikhtilaf ulama ini tidak wajar dilihat dari perspektif perpecahan di kalangan umat Islam tetapi hendaklah dilihat dari lensa keanjalan undang-undang Islam yang membawa kepada dinamiknya Hukum Syarak itu sesuai mengikut tempat dan zaman.

Ia juga melambangkan keluasan fakulti pemikiran ulama silam dalam ilmu fiqh yang bersungguh-sungguh menimba khazanah ilmu Islam.

Sebagai seorang Peguam Syarie saya melihat perbezaan pandangan ini sebagai suatu manifestasi dinamiknya undang-undang Islam.

Pelbagai hujah dapat dibangkitkan di mahkamah mengenai isu-isu tertentu tanpa perlu memperlekehkan sesuatu hujah yang berlainan.

Para peguam menyediakan hujahan mereka dengan penuh berhati-hati semasa memilih hujah manakah yang akan dipertahankan.

Pandangan mazhab ini sebenarnya berfungsi sebagai panduan kepada kita supaya tidak tergelincir dari landasan yang sebenar.

Pandangan terpimpin ini memudahkan ilmuan mengkaji dan meneliti sesuatu pandangan dengan lebih objektif kerana piawaian yang tinggi sudah pun digariskan para Imam semasa menggarap pandangan mereka.

Dengan cara ini undang-undang itu dapat dibangunkan dan disesuaikan dengan peredaran zaman.

Dalam konteks undang-undang Islam di Malaysia, keterikatan kepada sesuatu mazhab terutama mazhab Shafie tidaklah bersifat mutlak.

Tafsiran Hukum Syarak memberi keutamaan kepada pemakaian pandangan dari mazhab Shafie tetapi pandangan mazhab lain juga boleh diambil sekiranya keadaan memerlukan.

Undang-undang Syariah yang digubal di Malaysia tidak terhad kepada Mazhab Shafie tetapi juga mengambil kira pandangan mazhab lain.

Kesimpulannya, mazhab fiqh masih lagi relevan kepada umat Islam, cuma umat Islam perlu melihat semula perbezaan pandangan ini sebagai suatu bukti keanjalan dan kedinamikan undang-undang Islam.

Perbezaan pandangan bukan faktor kekurangan dalam undang-undang Islam sebaliknya perlu dilihat dari kaca mata yang positif.

Selagi ia berteraskan pegangan ahli sunnah wal jamaah ia boleh dipegang umat Islam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker