Giliran wanita PKR Johor keluar parti.

Share

Hilang kepercayaan, giliran Wanita PKR Johor umum keluar parti

PKR terus menerima tamparan susulan kemelut yang melanda parti itu, termasuk krisis antara komponen Pakatan Harapan (PH), dan kali ini sayap wanitanya bagi negeri Johor pula mengumumkan keluar parti.

Keputusan keluar parti itu diketuai naib ketua Wanita PKR Johor, Nor Ashidah Ibrahim bersama beberapa lagi pimpinan wanita negeri itu.


Selain Nor Ashidah, turut mengumumkan keluar parti ialah, bendahari Wanita PKR Johor, Siti Noraini Md Jani serta kira-kira 30 pimpinan peringkat bahagian.

Pemimpin sayap Wanita PKR Johor menunjukkan surat keluar pari pada sidang media di Johor Bahru hari ini.
Ashidah yang juga merupakan exco Wanita PKR Pusat turut melepaskan semua jawatan yang disandang selain memaklumkan bahawa mereka hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti yang diketuai Anwar Ibrahim sebagai presiden.

Kumpulan itu juga berang berhubung tindakan yang dikenakan ke atas pemimpin utama Wanita PKR yang memenangi pemilihan parti, termasuk ketua sayap di peringkat pusat dan negeri.


“Keputusan dibuat setelah hilang kepercayaan kepada tampuk pimpinan PKR dengan mengambil kira contoh tindakan pengantungan ketua Wanita pusat, Haniza Talha dengan alasan tidak munasabah.

“Perkara sama berlaku kepada ketua Wanita PKR Johor, Rahamizon Abdul Ghani dan timbalan ketua Wanita negeri Tan Poh serta teman seperjuangan lain yang dikenakan tindakan pemecatan dan pengantungan tanpa sebab dan dengan alasan tidak berasas,”katanya merujuk kepada Haniza yang digantung dan Rahamizon yang dipecat daripada parti.

Katanya, pimpinan PKR juga sudah lari daripada perjuangan asal, termasuk idealismenya.


“Perjuangan sekarang lebih kepada membawa perpecahan serta gagal menjalankan amanah kepada ahli yang memilih mereka. Ini jelas menunjukkan ia lebih kepada meruntuhkan muafakat yang selama ini dibina,” katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Kumpulan itu juga mengumumkan akan menyertai NGO, Nation Of Women (NOW) yang diketuai Haniza dalam memperjuangkan nasib rakyat, khususnya wanita.

“Buat masa ini saya dan rakan-rakan tidak akan menyertai mana-mana parti politik,”katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Rahamizon yang berkata, mereka muak dengan permainan politik pucuk pimpinan PKR dan PH.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli PKR di negeri itu akan keluar parti.

“Di Mersing 50 umum keluar parti dan ia bertambah. Sekarang dalam 300 orang di kawasan Parlimen itu, dan jumlah yang sama di setiap kawasan Parlimen lain,” katanya sambil memaklumkan bahawa kumpulan itu memutuskan untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Jika kerajaan hari ini mengutamakan kepentingan rakyat dan banyak manfaat rakyat dapat, kita akan sokong,” katanya.

FMT

One thought on “Giliran wanita PKR Johor keluar parti.

  • June 21, 2020 at 19:58
    Permalink

    sungguh meriah, jom teruskan Pakat Keluar Ramai2(PKR) lagi

    Reply

Leave a Reply