Elok jauhi aplikasi ubah wajah jantina, biar Mufti kaji fatwa.

Seorang pensyarah tampil meminta orang ramai menjauhi daripada menggunakan aplikasi menukar gambar bagi mengubah wajah jantina di media sosial.

Mengulas aplikasi yang sedang banyak dimainkan netizen akhir-akhir ini, Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Rozaimi Ramle berkata, ramai yang mencuba permainan aplikasi itu dan berkongsi di Facebook.

“Saya melihat terdapat permainan menukar muka lelaki menjadi wanita. Ramai juga yang mencubanya lalu berkongsi di Facebook.

“Bukankah terdapat larangan lelaki menyerupai wanita yang disebutkan di dalam hadis?



“Saya tidak tahu apa kepentingan bermain aplikasi ini. Kalau hanya sekadar suka-suka ia bukanlah termasuk dalam keperluan yang mendesak,” katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya aplikasi itu turut termasuk dalam larangan lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya.

“Biarlah mufti yang mengkajinya. Saya bukan mahu memberikan fatwa dalam isu ini kerana biarlah mufti mengkaji hukumnya kerana ia isu baru yang memerlukan kajian tetapi sikap seorang mukmin itu ialah meninggalkan perkara yang tidak penting baginya.

“Antara sifat baik iman seseorang adalah meninggalkan meninggalkan perkara yang tidak penting baginya.



“Seeloknya jauhkanlah diri dari perkara ini. Moga Allah pelihara kita semua,” jelasnya.

Perkongsian beliau itu juga mendapat lebih 500 perkongsian selepas kira-kira sejam tulisan itu dimuat naik.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker