13 samseng jalanan ‘berpesta’ ditahan

KAJANG – Seramai 13 samseng jalanan ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor dalam Operasi Bersepadu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) laluan Sungai Besi ke Tol Bangi, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kesemua individu itu ditahan kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Kita juga telah mengeluarkan sebanyak 453 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya pada sidang media, di sini.

Azman berkata, seramai 247 individu dan 239 buah kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang bermula pada jam 11 malam hingga 6 pagi.

“Hasil semakan dan pemeriksaan kita mendapati dua individu positif dadah dan satu lagi individu menggunakan motosikal curi yang dilaporkan hilang di Seri Muda, Shah Alam,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker