Mat Sabu : kami bersama Mahathir

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan Pakatan Harapan (PH) akan bersama Pengerusi Bersatu yang dipertikai, Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan untuk mengembalikan semula mandat rakyat dan menerajui semula kerajaan persekutuan.

Menurutnya, parti itu juga akan terus kekal bersama dalam gabungan PH.

“Mesyuarat jawatankuasa pimpinan Amanah pagi ini menegaskan iltizam dan komitmen Amanah untuk mempertahankan kesatuan PH sebagai satu-satunya wadah dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan perubahan dalam negara.

“Amanah menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab PH bersama gabungan Tun Mahathir Mohamad dan pasukannya serta Warisan untuk terus berusaha mengambil balik mandat rakyat dan hak rakyat yang telah diberikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Mohamad itu dikeluarkan sehari selepas PKR menolak pencalonan Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dari gabungan PH Plus.

Dalam mesyuarat bulanan majlis pimpinan pusat PKR semalam, parti itu menyokong presidennya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bagi gabungan berkenaan.

PKR juga menyatakan kesediaan untuk berunding berhubung keputusan DAP dan Amanah sebelum ini yang memberitahu mereka menyokong gandingan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Namun, dalam kenyataan bersama oleh Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendedahkan pilihan pertama mereka untuk mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Justeru, ia menyebabkan pilihan kedua, iaitu Dr Mahahir Mohamad sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, dikemukakan.

Pimpinan DAP dan Amanah berkata pilihan pertama tersebut hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 anggota parlimen.

Selain itu, Warisan turut menolak cadangan Anwar sebagai perdana menteri.

Khalid dan Loke juga mendedahkan usaha terakhir Anwar untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berjaya.

Sementara itu, Mohamad yang lebih mesra dipanggil sebagai Mat Sabu menggesa semua parti komponen PH bersiap sedia menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya diadakan.

“Dengan menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut dalam tempoh terdekat, Amanah menggesa semua parti komponen PH untuk mempersiapkan jentera pilihan raya masing-masing dalam kadar segera,” kata Anggota Parlimen Kota Raja itu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker