Lagak alim, rupanya…

BERKOPIAH dan tampak alim, namun sebenarnya penagih tegar.

Itulah perwatakan lelaki warga emas berumur 64 tahun yang ditahan dalam Ops Sarang Khas Selama, dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama dan Taiping, hari ini.

Warga emas terbabit antara 55 penagih ditahan polis dalam serbuan di tiga lokasi berbeza di daerah berkenaan.

Dalam operasi itu, polis turut menahan tiga tokan utama dan merampas dadah jenis heroin seberat 1.021 kilogram dan syabu seberat 42.7 gram dianggarkan bernilai RM55,270.

Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan berkata, semua yang ditahan adalah penduduk tempatan berusia antara 20 tahun hingga 60-an.

Beliau berkata, dalam operasi bermula 2 pagi hingga 3 petang tadi, seramai 10 pegawai dan 62 anggotanya terbabit dan mereka menyerbu tiga sarang dadah di kebun kelapa sawit.

“Hasilnya, kami menahan 55 penagih dadah termasuk pengedar dan merampas 1.021kg heroin dan 42.7g dadah jenis syabu bernilai pasaran RM55,270.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Selama untuk proses dokumentasi dan permohonan reman akan dibuat esok (Sabtu),” katanya dalam sidang media di dewan IPD Selama, hari ini.

Beliau berkata, susulan serbuan itu, pihaknya kini mengesan empat lagi tokan dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah Selama dan Taiping.

Menurutnya, pihaknya yakin semua bekalan dadah itu diperoleh dari utara dan diedarkan di kawasan berkenaan.

“IPK Perak berjanji akan cuba sedaya mampu bagi membanteras gejala pengedaran dadah habis-habisan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 39A(2), 12 (2), 15 (1)(A) dan 3 (1) Langkah Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

HM

Leave a Reply