21 kes jangkitan baru Covid-19, tiada kematian

Share

Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal sebanyak 121 orang.

Dalam perkembangan sama, 21 kes jangkitan baru dicatatkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 8,556 orang sehingga kini.

“Ingin dimaklumkan daripada 21 kes baru yang dilaporkan, 2 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 1 warganegara Malaysia dan 1 bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 19 kes penularan dalam negara, 7 kes adalah bukan warganegara, manakala 12 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, seramai 289 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 3 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiada daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham mengumumkan 76 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 8,146 orang sehingga kini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, perician kes jangkitan dalam negara (7 kes) dalam kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:

• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 7 kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8498 dan kes ke-8523).

Katanya, kesemua mereka adalah rakan serumah.

Dalam pada itu, perincian kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia (12 kes) pula adalah seperti berikut:

• Selangor – 10 kes, iaitu:

7 kes saringan beberapa pusat tahfiz dan madrasah;
1 kes daripada kluster Lanjut.
1 kes daripada kluster warga emas Kuala Selangor. Beliau merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8510;
1 kes petugas barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di lokaliti di bawah perintah kawalan pergerakan secara pentadbiran di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama;
• Negeri Sembilan: 1 kes saringan orang kena tahan (OKT) di Seremban sebelum dipindahkan ke penjara;

• Sabah: 1 kes saringan dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Kawasan.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu,” katanya.

FMT

Leave a Reply