Tiada nama selain Anwar dalam siri perbincangan PH Plus

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tiada nama selain Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri dalam siri perbincangan Pakatan Harapan (PH) Plus.

Beliau berkata, sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa rakan PH telah mengemukakan beberapa persoalan dan memberikan sedikit penerangan tentang perbincangan gabungan itu yang disebut PH Plus.

“Nama Dr Mahathir dicadangkan sendiri oleh beliau dan (Datuk Seri) Shafie (Apdal) memberikan sokongan. Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat PH Plus.

“Majlis Pimpinan Pusat PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan esok, 19 Jun dan pendirian parti akan dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada pertemuan 1 Jun lalu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan beliau telah menjadi wakil Majlis Presiden PH dalam pertemuan bersama Dr Mahathir.

Dalam pertemuan itu katanya, Dr Mahathir tidak menolak cadangan Anwar sebagai calon Perdana Menteri namun memaklumkan bahawa beliau perlu berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau serta Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah.

“Tiada opsyen lain yang dibentang atau dibincangkan pada waktu itu,” katanya.

Katanya, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Shafie pada 4 Jun lalu untuk memaklumkan mengenai keputusan PH, selepas Majlis Presiden PH pada hari sebelumnya, bermesyuarat dan memutuskan Anwar perlu mengadakan pertemuan dengan Shafie bagi menjelaskan mengenai keputusan itu.

Saifuddin turut memberitahu, semua wakil parti komponen PH telah mengangkat hujah Anwar sebagai calon Perdana Menteri, manakala Dr Mahathir telah memohon agar diberi masa enam bulan sebagai Perdana Menteri melalui Mesyuarat PH Plus di Ibu Pejabat Keadilan pada 9 Jun.

“Pada 13 Jun, Mesyuarat PH Plus telah diadakan di mana semua wakil parti komponen PH mengangkat hujah Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Kali ini Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau masih mohon dicalonkan sebagai Perdana Menteri tetapi enam bulan tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa dan PH kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker