Pegawai kanan polis ditahan disyaki terima rasuah RM20,000

Share

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis hari ini ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM20,000.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, pegawai berusia 40 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira 5.30 petang.

“Suspek ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengadu sebagai balasan membantu dan mempercepatkan tuntutan bayaran insurans kemalangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.


Alias berkata, pegawai itu akan dibawa ke Mahkamah Majisteret Shah Alam 9 pagi esok bagi tujuan permohonan reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama

Leave a Reply