Agenda RAMPASAN KUASA sebelum PRU15?

AGENDA ‘PM Tepi’ diteruskan lagi dengan strategi demi strategi murahan, atas kapasiti membodek atau mengampu individu tertentu dan juga parti-parti tertentu.

Terdengar desas-desus kini bahawa teraju kepimpinan negara sekiranya berjaya ditawan oleh PH Plus, akan menampilkan barisan kepimpinan utama seperti berikut, di mana PM bakal disandang sekali lagi oleh Dato’ Anwar Ibrahim, manakala TPM 1 oleh anak harapan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dan TPM 2 pula oleh calon dari Sabah, Dato’ Seri Shafie Mohd Apdal.

Melihat kepada percaturan ini nampak bagaimana pencalonan TPM 1 dilihat untuk mendapatkan kepercayaan Tun M dan pengikutnya, manakala pencalonan Shafie Apdal sebagai TPM 2 pula tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meraih kepercayaan MP-MP dari Sabah.

Lalu bagaimana pula dengan Sarawak? Mampukah Shafie mewakili Sabah dan Sarawak sekali gus? Tidakkah nanti MP-MP Sarawak akan berkecil hati? Semua persoalan ini mesti diselesaikan oleh bakal PM (tepi) bagi menjaga hati semua juak-juak politiknya.

Strateginya di sini sudah nampak bagaimana rencana yang diatur ini tidaklah mendahulukan kepentingan rakyat sebagai pemegang undi, namun lebih untuk menjaga kepentingan politik peribadi atau kelompok tertentu. Ini terbukti bagaimana mantan jaguh-jaguh Pakatan Harapan jarang membicarakan soal dan permasalahan rakyat, namun nampaknya rakus untuk merampas kembali kuasa yang tergadai.

Yang jelasnya kini pembangkang mesti meneruskan agenda rampasan kuasa semula sebelum berlakunya PRU15. Kerana mereka yakin seandainya mereka menunggu sehingga waktu tersebut, mereka pasti akan kalah dan sirna dari gelanggang politik negara.

Dalam pada itu, perpecahan dalaman yang melanda PH secara besar-besaran itu turut menganggu proses rampasan kuasa di mana kini PKR dan BERSATU sudah berpecah dua. Walaupun PAN kekal setia pada pada DAP dan PH, ianya belum cukup kuat untuk PH melangkah gagah ke Putrajaya.

Sudah pasti acah-acah politik PH ini sedikit sebanyak merisaukan rakyat di akar umbi yang kini sudah mula menyayangi Kerajaan Perikatan Nasional berikutan langkah diambil Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kekal memberi tumpuan penuh kepada menyelesaikan masalah COVID-19.

Justeru, inilah yang membuatkan agenda rampasan kuasa mesti diteruskan sebelum PRU15, kerana pembangkang sendiripun barangkali sudah tidak percaya kepada kemahuan rakyat setibanya PRU15 nanti. Ini lantaran kesilapan dan kerakusan yang pernah dilakukan mereka semasa mengenggam kuasa pemerintahan sedikit masa lalu.

Ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’, peribahasa tersebut menggambarkan realiti pembangkang alaf baru ini di mana dalam suasana dalaman parti yang caca merba mereka terpaksa pula meneruskan agenda rampasan kuasa. Ini untuk mengelakkan PRU15 dan sudah pasti alasan untuk menjimatkan wang negara mungkin alasan tepat bagi mereka untuk mengambil alih kepimpinan negara pada masa ini.

Dan sedarkah kita sekarang ‘Abang Besar’ dalam PH senyap sunyi tidak berbunyi. Barangkali untuk membuatkan rakyat alpa dan seterusnya melupakan kehadiran mereka di arena politik negara. Mungkin juga ini menunjukkan pembangkang mempunyai pelan B sekiranya gagal dalam rampasan kuasa ini iaitu untuk bertempur mati-matian dalam PRU15?

Mahu tidak mahu, pelan atau agenda ini mesti diteruskan, tauke-tauke di belakang layar sudah bising, modal dahulu masih belum tuntas. Mereka pula sudah lemas dan kini seandainya tidak dapat merampas kembali tampuk kepimpinan negara, maka apakah yang akan dijawab kepada tauke besar ini nanti?

Belum habis kekayaan negara dijarah, belum puas keharmonian rakyat dipermain, belum selesai keutuhan Islam dinodai, maka kini mereka terpaksa bermula kembali dari awal.

Desas-desus yang bermain di media sosial sekarang juga lebih ke arah menelanjangkan agenda pembangkang di mana ada mengatakan puluhan juta bakal dilaburkan untuk menarik sokongan Ahli Parlimen bagi menyokong mereka. Sudah tentu kalau ini yang dirangka maka akan menelan belanja yang tidak sedikit dan memerlukan bantuan tauke-tauke besar di belakang mereka.

Agenda yang dirancang ini semestinya harus memberikan keyakinan yang kuat kepada pelabur-pelabur mereka, gandingan Tun M dan bakal ‘PM Tepi’ mesti dilihat mantap dan mempunyai perancangan yang tersusun rapi, dan juga mesti dilihat mampu untuk mendominasi kekuatan baharu yang bakal dibentuk.

Sabah sebagai salah satu aset kekuatan pembangkang sebelum ini mesti diperkasakan dengan menaikkan tokoh dari Borneo tersebut ditampuk kepimpinan tertinggi untuk mempengaruhi panglima-panglimanya supaya memberikan sokongan penuh dan tidak beralih arah sekarang.

Apapun agenda yang diatur, matlamatnya yang nampak bukanlah demi kelangsungan hidup rakyat. Sebaliknya demi memenuhi kehendak orang yang berkepentingan di belakang tabir politik keji pembangkang. Dan dalam masa sama agenda Kerajaan Perikatan Nasional kekal ke arah memastikan kelangsungan hidup rakyat dalam suasana pandemik COVID-19 ini menghambat keselesaan kita semua.

TONGKAT SUNAN
Kuala Kangsar, 17 Jun 2020 – HARAKAHDAILY

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker