PKR wajar keluar, kata pemimpin Pemuda selepas ‘rakan PH’ desak terima ‘atuk’

Share

Seorang pemimpin Pemuda PKR berkata partinya wajar keluar Pakatan Harapan, dikatakan kerana “rakan PH” mendesak partinya terima Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan.

Setiausaha Ahmad Syukri Abd Razab berkata rakan sama nampaknya “lebih berselera” mengangkat Mahathir daripada presidennya, Anwar Ibrahim, pilihan pertama PH sebelum ini.

“Pakatan Harapan sudah tiada nilainya lagi. Mengembalikan mandat rakyat sekadar alasan. Sedangkan dalam mandat 22 bulan yang lepas tak banyak pun yang mereka buat,” katanya di Facebook.

Syukri menarik perhatian kepada pembentukan Kabinet Mahathir, mengatakan mereka berdiam diri apabila pemimpin PKR, Rafizi Ramli membantah banyak jawatan menteri daripada PKR diberi kepada pengikut Azmin Ali, sedangkan kumpulan itu tidak setuju pun dengan penubuhan PH.

“Tak seorang pun yang menegur atuk kerana memilih geng khianat,” katanya. “Sekarang rakan-rakan yang sama mendesak PKR untuk sekali lagi menerima atuk sebagai perdana menteri.”

Syukri berkata ketika itu ramai menuduh Rafizi “gila jawatan” dan individu penting dalam partinya yang mengerakkan penubuhan PH “diketepikan begitu sahaja”.

“PKR wajar tinggalkan PH. Serahkan PH kepada Amanah, DAP, dan atuk.”

Syukri dihubungi FMT untuk mengulas lanjut kenyataannya, yang dibuat atas kapasiti peribadi.

“Adalah tidak wajar mendesak PKR untuk menerima cadangan Mahathir sebagai PM kali ke-3 dalam keadaan PKR banyak terkesan dengan sikap dan perbuatan Mahathir,” katanya.

Syukri berkata Pemuda PKR faham mereka perlu mengambil alih kerajaan, tetapi khuatir kesilapan pentadbiran PH yang lalu akan berulang jika Mahathir dipilih sebagai perdana menteri.

“Tempoh 22 bulan yang PH gagal manfaatkan untuk tunaikan manifesto dan janji kepada rakyat,” katanya.

“Tetapi terpulang kepada DAP, Amanah, dan kumpulan Mahathir jika mereka mahu terus membentuk kerajaan tanpa PKR sekiranya mereka memiliki bilangan sokongan yang mencukupi,” katanya.

Sebelum ini FMT melaporkan Pakatan Harapan bersedia mengembalikan Mahathir sebagai calon perdana menteri, tetapi kali ini dengan Anwar sebagai timbalannya, walaupun kedua-dua pemimpin itu bergelut menunjukkan mereka mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

PH dikatakan bersetuju Mahathir akan berkhidmat “sehingga akhir tahun”, dengan satu perjanjian “hitam putih” ditandatangani untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Keputusan memilih Mahathir tidak disenangi penyokong kuat Anwar, kerana Mahathir “memungkiri janji” untuk menamakan Anwar sebagai penggantinya ketika PH berkuasa selama 22 bulan.

FMT

Leave a Reply