Maklumat akademik dan pengalaman kerja bekas CEO PNB bercanggah

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) masih lagi menantikan maklum balas daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) berhubung percanggahan dalam serahan maklumat syarikat bagi pelantikan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) itu.

Baru-baru ini, suruhanjaya itu telah dimaklumkan bahawa terdapat percanggahan dalam serahan oleh syarikat kepada SC berhubung kelayakan akademik dan pengalaman kerja bekas PGCE, dan sehingga kini telah menerima pengesahan mengenai percanggahan dalam serahan berkenaan.

“SC ingin menjelaskan bahawa di bawah Panduan Pelesenan SC, sesebuah pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) hendaklah memperoleh kelulusan SC terlebih dahulu bagi pelantikan ketua eksekutifnya.

“Dalam berbuat demikian, pemegang CMSL dan lembaga pengarahnya dikehendaki menjalankan proses ketekunan wajar ke atas keupayaan dan kecekapan individu tersebut untuk mengetuai entiti berlesen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Ini termasuk menilai, antara lain, kemampuan individu tersebut untuk mempamerkan kemahiran dan ketekunan wajar dalam melaksanakan tugasnya, katanya.

Di samping itu, SC juga akan menjalankan penilaian kawal selia mengenai latar belakang individu berkenaan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.

Keperluan dan amalan SC adalah setanding dengan piawaian yang diguna pakai oleh pengawal selia pasaran modal lain di rantau ini, tambahnya.

“Sebagai pemegang CMSL, PNB dikehendaki memastikan bahawa semua maklumat yang dikemukakan kepada SC untuk pelantikan bekas PGCEnya, termasuk pengalaman kerja dan kelayakan akademik yang disertakan dalam borang permohonan dan dokumen sokongan, adalah benar dan tepat setelah ia menjalankan pertanyaan ketekunan sewajarnya.



“Keperluan ini dinyatakan dengan jelas dalam borang permohonan yang berkaitan,” katanya.

Sehubungan ini, PNB telah membuat pengisytiharan kepada SC bahwa semua maklumat yang diberikan dalam serahannya kepada SC untuk pelantikan bekas PGCEnya adalah benar dan tepat.

Bernama

Kemunculan dan Pengakhiran Ketua Eksekutif PNB Penuh Misteri



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker