2 pekerja Indonesia larikan diri selepas jalani ujian Covid-19 di Kuching

Share

Dua pekerja Indonesia melarikan diri selepas mendapati mereka positif Covid-19.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kedua-dua pekerja itu menjalani ujian saringan mandatori Covid-19 sebagai sebahagian daripada syarat pemohonan kerja mereka.

“Kami berasa kesal bahawa 2 pekerja Indonesia itu melarikan diri berikutan usaha mengesan sumber jangkitan dan pengesanan kontak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu menggesa majikan berwaspada dan membuat laporan polis sekiranya 2 pekerja Indonesia itu cuba bersembunyi di premis mereka.

Terdahulu pada 9 Jun, pengerusi jawatankuasa tersebut Douglas Uggah Embas mengumumkan bahawa kluster baru membabitkan pekerja asing dikenal pasti di negeri tersebut selepas seorang pekerja Indonesia disahkan positif Covid-19.

Jawatankuasa itu menggesa majikan memastikan pekerja masing-masing, terutama pekerja asing, menjalani ujian saringan virus tersebut.

Selain itu, ia juga berkata, 2 rakyat tempatan disahkan positif Covid-19 di sini, hari ini.

Pesakit pertama berusia 33 tahun dan bekerja dengan syarikat pengurusan acara, sementara individu ke-2 adalah suri rumah berusia 71 tahun yang menjalani ujian saringan virus tersebut sebelum menjalani pembedahan mata.

Jabatan Kesihatan Negeri berkata, langkah pengesanan kontak dan punca jangkitan 2 pesakit itu sedang dijalankan.

Setakat hari ini, 565 kes positif Covid-19 direkodkan di Sarawak. Angka kematian akibat wabak ini kekal 17 kes.

FMT

Leave a Reply