Juruterbang senior tidak puas hati pakej pemberhentian AirAsia

KAKITANGAN senior AirAsia tidak berpuas hati dengan pakej pemberhentian ditetapkan syarikat itu bagi kakitangan yang diberhentikan, iaitu tiga bulan gaji, kata sumber.

Mereka berkata juruterbang dengan pengalaman kerja selama lebih sedekad pun akan menerima tiga bulan gaji daripada pakej pemberhentian itu, walaupun sebelum ini dijangkakan pakej berkenaan akan dikira mengikut tahun perkhidmatan, atau berdasarkan kepada skim pemisahan sukarela dan prinsip “pekerja baharu diberhentikan dulu”.

“Mereka pun terima tiga bulan gaji, selepas 15 tahun jadi juruterbang,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Ada yang tidak puas hati. Sebahagian daripada mereka pertikaikan kenapa sikit sangat. Jika lihat cara bagaimana pemberhentian dibuat, saya fikir mereka terima kurang daripada dijangkakan.



“Ramai juruterbang senior berasakan AirAsia memilih pendekatan lebih drastik berbanding menawarkan VSS atau ‘pekerja baharu berhenti dulu’,” kata sumber.

Kebanyakan pemberhentian itu berkuatkuasa 14 Jun.

Surat yang dilihat oleh The Malaysian Insight itu memperincikan pakej berkenaan, iaitu terdiri daripada pampasan dan jumlah notis, iaitu merujuk kepada tiga bulan.

Dalam satu contoh, seorang kakitangan dengan gaji dan elaun tetap RM1,680 dan pengalaman kerja tiga tahun setengah, akan menerima RM8,040. Ini temasuk gaji tiga bulan RM5,040 serta tambahan pampasan RM3,000.



Kakitangan tempatan yang tertakluk kepada pelepasan cukai akan dibayar keseluruhan wang itu selepas proses pemberhentian selesai sebelum 19 Jun.

Sejumlah 172 juruterbang, 111 anak kapal dan 50 jurutera dilaporkan diberhentikan.

Syarikat penerbangan tambang murah itu dikatakan cuba mengurangkan 30% tenaga kerjanya. MalaysiaInsight



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker