Pegawai audit tak beretika rakam mesyuarat berkait 1MDB, kata Ali Hamsa

Nor salwaniBekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa memberitahu perbicaraan Najib Razak meminda laporan audit 1MDB yang tindakan seorang pegawai audit kerajaan meletakkan perakam “secara diam-diam” dalam mesyuarat kerajaan tidak beretika.

Katanya, beliau terkejut mengetahui, ketika perbicaraan, Pengarah Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad meletakkan sebuah perakam dalam mesyuarat 26 Feb 2016.

Mesyuarat itu dihadiri Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, pegawai kanan Perbendaharaan dan wakil daripada Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Peguam Negara.

Ali berkata, tiada orang yang meminta izinnya untuk merakam mesyuarat itu.

“Ketika itu, tiada orang di dalam bilik itu yang tahu ada perakam. Ia tidak beretika,” katanya menjawab soalan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanyakan Ali sama ada beliau tahu mengenai perakam digital yang diletakkan Salwani dalam sebuah kotak pensel pada mesyuarat itu.

Dalam prosiding terdahulu, Ambrin mempertahankan tindakan Salwani meletakkan perakam pada mesyuarat itu, dengan menyatakan wanita itu tidak melanggar sebarang undang-undang.

Katanya, Salwani ialah penyelaras latihan audit 1MDB dan ditugaskan untuk mengambil nota mesyuarat itu.

Peguam itu kemudiannya mempersoalkan Ali mengenai dakwaan Salwani yang kakitangan Jabatan Audit Negara diminta meninggalkan bilik mesyuarat oleh pegawai Ali secara kasar, dan jika arahan itu dibuatnya.

“Ia bukannya satu arahan. Bilik mesyuarat itu kecil dan saya tidak tahu jika pegawai saya bertindak bersendirian. Saya akan mempertimbangkannya dan mengatur kerusi untuk mereka, jika mereka diminta datang,” kata Ali.

Beliau memberitahu mahkamah yang beliau mendapati Ambrin “bertindak seperti biasa” selepas mesyuarat itu tamat.

Sebelum ini, Ambrin dalam keterangannya berkata, beliau kecewa kerana perlu melayan cadangan pindaan kepada laporan audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Sebelum mahkamah ditangguhkan, Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah yang mereka mahu meminda pertuduhan terhadap Najib dan Arul atas alasan “kesilapan perkeranian” bagi pihak pendakwaan.

Shafee memberitahu mahkamah, pihak pembelaan akan membantah pindaan itu esok, apabila perbicaraan bersambung di depan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Najib berdepan satu pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB, manakala Arul didakwa bersubahat dengannya.

FMT

Baca : Ambrin tidak pernah ditekan untuk ubah audit

Pihak pendakwaan mahu pinda tuduhan kes laporan audit 1MDB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker