MB Selangor berlakon setia pada Anwar, dakwa orang Azmin

KUMPULAN penyokong Azmin Ali menyelar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang menggesa Adun Sementa Daroyah Alwi yang keluar PKR mengosongkan kerusi.

Pergerakan Pemuda Negara bahagian Kampar juga mendakwa Amirudin sebenarnya penyokong Azmin dan seruan supaya Daroyah mengosongkan kerusi tersebut sebagai satu lakonan semata-mata.

Ketua pergerakan itu Ameer Asshafiq juga mempersoalkan sama ada seruan itu bertujuan agar kerusi berkenaan diisi bekas pengarah strategi PKR Rafizi Ramli atau presidennya Anwar Ibrahim.

“Apakah saranan beliau itu bertujuan untuk menyediakan kerusi Dun Sementa buat Anwar Ibrahim atau Rafizi Ramli?

“Ini kerana, kami yakin kepimpinan dan akar umbi PKR masih melihat Amirudin Shari sebagai kartel Azmin yang hanya berlakon setia semata-mata untuk mengekalkan kerusi empuk menteri besar Selangor,” kata Ameer dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian dengan membangkitkan kehadiran pegawai Amirudin di pertemuan di Hotel Sheraton pada Februari lalu yang membawa kepada kehilangan kuasa Pakatan Harapan di Putrajaya.

“Jangan lupa, melalui beberapa gambar yang viral, menteri besar juga dituduh terlibat sama dalam merancang Langkah Sheraton.

“Malah, beberapa pegawai dan rakan-rakan menteri besar juga ada bersama kami di Sheraton pada hari kejadian,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ia menjawab gesaan Amirudin semalam kepada Daroyah untuk mengosongkan kerusi Sementa selepas wakil rakyat tersebut mengumumkan keluar PKR sebagai tanda maruah.

Amirudin yang juga pengerusi PKR negeri itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan Daroyah itu.

“Saya menggesa YB Dr Daroyah untuk segera meletak jawatan Adun Sementa sekiranya masih bermaruah,” kata beliau.

Daroyah mengumumkan keputusan keluar PKR itu semalam atas alasan hilang kepercayaan kepada Anwar.

Menurutnya, beliau akan menjadi Adun bebas yang mesra kerajaan Perikatan Nasional.

Pengumuman itu ekoran beberapa siri pertemuan pemimpin tertinggi Bersatu, Amanah, PKR dan DAP yang disebut-sebut sebagai usaha untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Keputusan Daroyah untuk meninggalkan PKR menyebabkan jumlah Adun PKR dalam Dewan Undangan Negeri Selangor berkurangan kepada 17.

DAP mempunyai 16 Adun manakala Amanah lapan kerusi.

Di pihak pembangkang, Umno, Bersatu dan PAS masing-masing menguasai lima, empat dan satu kerusi. – Malaysia Insight

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker