PNB bakal dapat peneraju baharu

Selepas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan bakal mendapat peneraju baharu, spekulasi kini bertiup kencang di Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB).

PNB yang merupakan institusi pelaburan utama negara dikatakan bakal menyaksikan perubahan besar dalam barisan pengurusan utamanya.

Perubahan pengurusan itu dipercayai membabitkan jawatan Pengerusi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB.

Pada masa ini, Pengerusi PNB ialah Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pula ialah Abdul Jalil Rasheed.

Kedua-dua mereka dilantik semasa rombakan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Penamatan kontrak Abdul Wahid itu menyebabkan beliau ‘hilang’ sementara dari radar korporat sedangkan Abdul Rahman pula dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Sime Darby Berhad.

Kini Abdul Wahid kembali semula dalam dunia korporat sebagai Pengerusi Bursa Malaysia Berhad dan Abdul Rahman pula menerajui CIMB Group Holdings Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Jalil, 39, menerajui PNB pada 1 Oktober 2019.

PNB ketika mengesahkan pelantikan Jalil dalam satu kenyataan tahun lalu berkata, pelantikan Jalil itu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi presiden dan ketua eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

Katanya, Jalil pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

Jalil memegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom.

Beliau mula bekerja pada tahun 2003 sebagai pelatih graduan di Aberdeen Standard Investments dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Pelaburan dan seterusnya Ketua Ekuiti sebelum menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Aberdeen Islamic Asset Management pada tahun 2010.

PNB yang merupakan pemilik kepada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada tahun lalu memiliki aset di bawah pengurusannya sebanyak RM312.0 bilion melebihi tanda aras RM300 bilion, dengan unit-unit dalam edaran meningkat kepada 7.3% mencapai hampir 254 bilion pada tahun 2019.

Organisasi pelaburan dunia ini jugak telah mengagihkan sejumlah RM13.2 bilion dalam bentuk pengagihan pendapatan dan bonus kepada pemegang unitnya pada tahun kajian, mencapai jumlah keseluruhan agihan pendapatan sebanyak RM200 bilion bagi kesemua 14 dana sejak penubuhan.

Berbalik kepada spekulasi di PNB, sumber-sumber memaklumkan perkara itu sudah dibangkitkan di peringkat atasan dan Yayasan Pelaburan Bumiputera – institusi yang memiliki PNB.

Malah, MalaysiaGazette difahamkan nama calon yang dipilih menggepalai PNB sudah pun berada berada dalam tangan.

Calon-calon tersebut juga bukan calang-calang orangnya.

Seorang daripadanya merupakan tokoh korporat negara manakala seorang lagi masih berada di bangku sebuah GLC lain, merupakan graduan ekonomi dari Universiti Harvard.

Rombakan besar-besaran dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLiC) dijalankan sejak terbentuknya kerajaan kerjasama Perikatan Nasional (PN).

Perubahan itu bagi memastikan syarikat-syarikat berkenaan melaksanakan agenda kerajaan.

Paling utama, perubahan itu bertujuan memastikan semua syarikat, agensi dan institusi berfungsi melaksanakan aspirasi kerajaan dalam memajukan negara dan ekonomi rakyat terbanyak. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker