Dibunuh kerana mabuk dan bising · MYKMU.NET

Dibunuh kerana mabuk dan bising

Share

BUKIT MERTAJAM – Gara-gara berang dengan rakannya yang mabuk dan membuat bising, seorang lelaki Myanmar menikam rakan senegaranya itu di sebuah rumah kedai di Kampung Juru, Bukit Tengah di sini tengah malam tadi.Suspek berusia 30-an itu ditahan awal pagi tadi ketika dia pulang semula ke rumah kedai dua tingkat tersebut selepas melarikan diri. Hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, suspek didapati melarikan diri bersama tiga rakan senegaranya dengan mengayuh basikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lokasi kejadian merupakan rumah kedai dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja sebuah kilang membuat alat ganti motosikal selain tempat menyimpan barangan. Menurutnya, suspek ditahan ditahan di hadapan asrama pekerja tersebut pada 5.45 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal, suspek mengakui hanya dia yang menikam mangsa dengan menggunakan senjata pisau pemotong sayur yang diambil dari asrama tersebut. Dia bertindak demikian selepas berang dengan mangsa yang sering mabuk dan membuat bising.

“Suspek turut mengaku membuang senjata tersebut berdekatan Taman Rekreasi Kampung Juru. Bagaimanapun, usaha mengesan senjata tersebut gagal apabila ia tidak dijumpai. Suspek akan dibawa semula ke lokasi tersebut pagi ini untuk mengesan pisau berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini. Dalam kejadian tengah malam tadi, mangsa yang dikenali sebagai Amko berusia 30-an maut di tempat kejadian selepas ditikam dengan senjata tajam di bahagian dada dan bahu sebelah kiri.

Shafee berkata, polis menerima panggilan kecemasan dari seorang wanita yang merupakan majikan mengatakan pekerjanya bergaduh dan ditikam. “Pemeriksaan di asrama tersebut menemui mangsa dalam keadaan terlentang dengan memakai seluar pendek dan tidak berbaju. Terdapat dua kesan tikaman di dada dan bahu sebelah kiri mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 9 pagi ini untuk mengetahui punca kematian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, seramai lima pekerja Myanmar termasuk mangsa dan suspek tinggal di asrama tersebut.

“Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan telah melarikan diri selepas kejadian. Suspek kini direman untuk siasatan lanjut.

“Kes selesai dengan tertangkapnya suspek dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

SH

One thought on “Dibunuh kerana mabuk dan bising

  • June 13, 2020 at 12:28
    Permalink

    Jangan lupa menangkap majikan yg menggajikan org asing tanpa dokumen.

    Reply

Leave a Reply