KKM sahkan tukang gunting rambut Pakistan positif Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan menerima notifikasi kes positif Covid-19 melibatkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata lelaki berkenaan yang bekerja di sebuah kedai gunting rambut di ibu negara, menawarkan perkhidmatan berkenaan dari rumah ke rumah atas permintaan klien di kawasan sekitar.

“Hasil siasatan awal, kedai gunting rambut tersebut tidak beroperasi sejak bermulanya fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama iaitu pada 18 Mac.

“Namun beliau terus memberi khidmat gunting rambut dari rumah ke rumah atas permintaan klien,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.



Gambar hiasan
Mengulas lanjut, beliau berkata lelaki berkenaan didapati positif Covid-19 selepas majikannya membawanya menjalani saringan Covid-10.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini terdapat seramai 25 kontak rapat yang dikenal pasti melalui rekod panggilan telefon iaitu empat orang rakan serumah dan 21 pelanggan.

Semua mereka telah menjalani saringan Covid-19 dan diarah menjalani kuarantin di rumah.

“Kedai gunting rambut tersebut mula beroperasi pada 10 Jun dan majikan telah membawa beliau menjalani saringan Covid-19,” katanya.



Lelaki itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh, namun punca jangkitan belum dikenal pasti.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker