Agong telah menyelamatkan negara – Kok Siong

Agong buat keputusan selamatkan negara.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri kelapan bagi menyelesaikan kemelut politik tanah air baru-baru ini adalah bertujuan mengelak berlakunya krisis Perlembagaan dalam negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Profesor Datuk Dr Teo Kok Siong berkata, dalam kemelut politik yang begitu sengit dan dahsyat, Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan tersebut bagi menyelamatkan negara.

Menurutnya, walaupun terdapat segelintir pihak menulis di media sosial dan menyifatkan tindakan itu sebagai mengkhianati mandat rakyat serta membunuh demokrasi, beliau menyifatkan isu itu tidak timbul.



“Apa yang dilakukan tuanku mengikut Perlembagaan kerana sistem di negara ini terdiri daripada dua bahagian iaitu Raja (tuanku sendiri mengikut Perlembagaan) dan rakyat mengikut demokrasi di Parlimen,” katanya pada Wacana Sinar ke-172 bertajuk Kerajaan Beta: Agong & Perlembagaan Persekutuan yang dianjurkan bersama Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Turut menjadi panelis pada Wacana Sinar kali ini adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling dan Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, sementara personaliti televisyen, Amin Idris bertindak sebagai moderator.

Kok Siong berkata, dengan keputusan dibuat Seri Paduka Baginda itu jugalah, maka tidak berlaku terkandasnya atau terbantutnya pemerintahan negara disebabkan kemelut politik yang berlaku.

“Natijahnya di sini, tindakan tuanku memilih Perdana Menteri kelapan adalah jelas untuk mengelak negara daripada krisis Perlembagaan,” katanya.



Dalam pada itu, Kok Siong turut membidas sikap pemimpin-pemimpin parti politik yang sebelum ini diberi mandat rakyat untuk memerintah negara tetapi tidak menguruskannya dengan baik.

Menurutnya, mandat rakyat ialah wasiat kehendak rakyat kepada sekumpulan parti politik yang dipilih menjadi kerajaan tetapi sayangnya ia tidak dihormati.

“Setelah dapat mandat rakyat mereka ini mempertaruhkannya, sedangkan salah satu komponen penting dalam mandat rakyat adalah peralihan kuasa.

“Kita boleh lihat bagaimana isu peralihan kuasa dipertaruhkan dan wujud kerakusan serta keangkuhan di situ apabila ada tindak-tanduk meletak jawatan dan kemudian mahu kembali jawatan dilepaskan.



“Mereka tidak berjaya mengurus apa yang diamanahkan dan seolah-olah tidak bersedia untuk menunaikan janji sedangkan itu mandat rakyat,” katanya.

Ketika mengulas mengenai isu hak kebebasan bersuara yang disalahgunakan ramai pihak, Kok Siong berkata, ia sebenarnya alasan untuk membolehkan seseorang itu berbicara mengenai apa yang ingin diperkatakan dan tanpa had.

Tegasnya, kebebasan bersuara sebenarnya ada hadnya terutama dalam konteks penghinaan kepada raja.

“Walaupun terdapat perundangan mencukupi tapi masih ada pihak yang menghina raja dan ini yang harus dilihat kembali.



“Sudah tiba masanya undang-undang sedia ada diperketatkan dan kena lihat balik Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia supaya kes jadi lebih berat dan dibicarakan bukan di Mahkamah Majistret yang sering dikaitkan dengan kes kecil.

“Jika kes hina raja ini berterusan dan semakin teruk, perlu digubal undang-undang lebih keras iaitu undang-undang penderhakaan kepada institusi raja bagi melindungi kemuliaan institusi tersebut.

“Di Asia, Thailand sudah ada undang-undang ini sejak 1908 dan Kemboja juga telah melaksanakannya pada tahun lalu,” katanya.

Selain itu katanya, pendekatan lembut melalui saluran pendidikan serta ideologi Rukun Negara juga boleh digunakan.



Sinar.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker