Tanpa penutup mulut, orang ramai dilarang menaiki pengangkutan awam

Sebaran :

Orang ramai yang tidak memakai penutup mulut dan hidung tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menghalang sesiapa sahaja yang tidak memakai penutup muka daripada menggunakan pengangkutan awam demi keselamatan pengguna yang lain.

Beliau turut mengingatkan walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi kelonggaran pergerakan, rakyat Malaysia tidak perlu melakukan perjalanan jika tiada keperluan.

Ini kerana, istilah pemulihan tidak bermaksud negara sudah bebas daripada pandemik Covid-19 kerana barisan hadapan masih lagi bertarung untuk dengan koronavirus tersebut.

”Ingatlah bahawa Covid-19 tidak membeza-bezakan sesiapa, bila-bila masa, atau lokasi di mana pun. Sekiranya rakyat Malaysia tidak mengamalkan garis panduan penjagaan kesihatan yang ditetapkan, kita mungkin menghadapi gelombang lain, dan tidak mustahil untuk diwujudkan semula pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),

”Jadi saya meminta semua rakyat Malaysia untuk tidak leka atau berpuas hati sekarang ini. Penting agar tidak ada di antara kita yang lupa bahawa prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dipatuhi demi kesihatan dan keselamatan,” katanya di sini.

Oleh itu, tambahnya, jangan berada di stesen pengangkutan awam dan terminal yang sesak kerana pengguna masih perlu mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam dan sentiasa menjaga kebersihan ketika menggunakan pengangkutan awam sama ada di laut, udara, atau darat.

Beliau turut menasihatkan jangan memandu kenderaan jika berada di bawah pengaruh alkohol.

Jika ada pemandu berkenaan yang berdegil, mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang yang ditetapkan, tambah beliau. – MalaysiaGazette


Sebaran :

Leave a Reply