Perak benarkan solat fardu berjemaah mulai Jumaat

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid dan surau bermula Jumaat, selepas mendapat pandangan jawatankuasa fatwa Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata kebenaran itu juga berlandaskan garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kebenaran melaksanakan solat fardu berjemaah bermula pada Jumaat ini dengan bilangan ahli jemaah melaksanakan solat berjemaah pada setiap solat fardu di masjid dan surau hendaklah tidak melebihi 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid dan ahli jawatankuasa (AJK) kariah,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Bilangan jemaah yang dibenarkan menghadiri solat Jumaat di masjid dan surau diri Jumaat pula ditambah dari 12 kepada 40 orang tidak termasuk pegawai masjid dan AJK Kariah.

Kehadiran menunaikan solat berjemaah pada setiap solat fardu dan solat Jumaat sebelum ini hanya dibenarkan kepada warganegara selain identiti para jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Shahrul berkata penggunaan masjid, surau diri Jumaat, dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu perlu mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan MKN dan KKM.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau dan selanjutnya menyelia dan memastikan garis panduan dipatuhi.

Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuatkuasa serta-merta sepanjang PKPP sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baru daripada MAIPk, katanya.

Pada 14 Mei lepas, Sultan Nazrin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat pada 15 Mei dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker