MKN keluarkan SOP PKP Pemulihan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerbitkan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) beberapa jam sebelum fasa baru itu bermula tengah malam ini.

Di Twitter dan di Telegram rasminya, MKN menerbitkan sepuluh set SOP yang antaranya meliputi sektor makanan, rumah ibadat dan urusan pengebumian, sekolah termasuk peringkat prasekolah dan sektor pertahanan.

Garis panduan dan protokol itu dikeluarkan antara jam 9.30 malam dan 10.04 malam di Telegram sebelum disiarkan di Twitter.

Setakat berita ini ditulis, laman web MKN masih belum dikemaskini dengan garis panduan tersebut.



Beberapa SOP juga masih belum dikeluarkan, seperti yang berkaitan dengan pembukaan semula kedai gunting rambut dan pasar malam.

Terdahulu sebelum itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri masih belum menerima SOP pembukaan beberapa sektor setakat jam 7.23 malam.

“(Tapi) sampai jam 7:23 pm kami belum menerima butiran SOP dari kerajaan persekutuan. Jadi macam mana?” soalnya di Twitter.

Beliau kemudian memaklumkan telah menerima SOP dari Telegram rasmi MKN pada jam 9.30 malam dan akan bermesyuarat esok dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung SOP berkenaan.



Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP pada 7 Jun lalu bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berakhir tengah malam ini.

Dengan penguatkuasaan PKPP, hampir semua kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap SOP yang ditetapkan.

Ini termasuk perkhidmatan tukang gunting rambut, salun, pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, bazar, medan selera, gerai penjaja, trak makanan dan gerai serta perkhidmatan dobi layan diri.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker