Keburukan melebihi manfaat laksana PKPB skala besar, kata kumpulan perubatan

Dua kumpulan perubatan berkata, tiada keperluan untuk Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Akademi Perubatan Malaysia (AMM) serta Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial memberitahu FMT, PKPB tidak akan menyelesaikan krisis Covid-19 kerana ia hanya mampu mengurangkan kes baru buat sementara.

Hujung minggu lalu, kerajaan mengumumkan PKPB selama sebulan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Kerajaan berkata, ia susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri terbabit dan PKPB untuk semua 7 negeri itu bermula semalam hingga 6 Dis ini.

AMM berkata, pihaknya bingung dengan keputusan kerajaan kerana tiada tanda menunjukkan lonjakan kes di luar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Malah di Pulau Pinang, banyak kes baru dalam beberapa minggu lalu berlaku di penjara dan jumlah kes komuniti secara relatifnya kecil, yang boleh ditangani dengan melakukan pengesanan, ujian dan pengasingan secara agresif.

“Kami meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan menjelaskan sains di sebalik keputusan mengenakan PKPB secara meluas yang akan memberi kesan buruk terhadap kehidupan ramai.”

Katanya, Lembah Klang mempunyai kapasiti cukup untuk menangani kes baru Covid-19, yang bermakna sekatan pergerakan tidak diperlukan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata, walaupun perlu menekan butang panik, langkah seperti PKPB hanya bertujuan menangani penularan penyakit berjangkit dalam sempadan kawasan ditentukan, bukannya meliputi beberapa negeri.

“PKP adalah instrumen tumpul dan langkah sementara terbaik. Ia bukan penyelesaian. Ia bukan tongkat sakti untuk penularan penyakit jenis ini dan ia tidak boleh dilaksanakan terlalu lama atau ia akan merosakkan ekonomi tempatan serta kehidupan.”

Susulan penutupan itu, Azrul berkata, mungkin terdapat penurunan jumlah kes baru, tetapi beliau meramalkan lonjakan kes akan berulang melainkan rakyat, terutamanya ahli politik dan penjawat awam, mematuhi SOP.

Beliau berkata, tiada gunanya penutupan separa atau tidak, kecuali rakyat memahami kepentingan amalan selamat seperti memakai memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

“Ketika ini, mustahil untuk meramalkan bila dan bagaimana situasi akan bertambah baik, tanpa kehadiran vaksin yang selamat dan berkesan. Tiada siapa boleh meramal masa depan. Namun, pematuhan SOP adalah kunci untuk memastikan jumlah kes kekal terkawal.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker