Bersatu diharamkan? Mahathir, enam lain saman Muhyiddin dan RoS

Terkini di My KMU !!!!---->

Tun Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan lima yang lain memfailkan saman terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung pemecatan keahlian serta jawatan mereka dalam parti itu pada dua minggu lepas.

Lima yang lain ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Marzuki Yahya dan parti itu sendiri selaku plaintif.

Kesemua mereka menamakan Muhyiddin yang kini Pemangku Pengerusi Bersatu; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah RoS, Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga keempat.

Writ saman dan penyataan tuntutan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam melalui Tetuan Haniff Khatri.

Dr Mahathir yang merupakan plaintif pertama memohon satu deklarasi bahawa beliau ialah ahli dan Pengerusi Bersatu yang sah dan adalah kini Pengerusi yang telah menang tanpa bertanding jawatan tersebut pada pemilihan parti.

Mukhriz pula memohon satu deklarasi bahawa dirinya ialah ahli dan Timbalan Presiden Bersatu yang sah dan calon yang sah untuk bertanding pada pemilihan parti itu.

Syed Saddiq memohon satu deklarasi bahawa beliau ialah ahli dan Ketua Armada parti itu yang sah, manakala Maszlee dan Amiruddin memohon deklarasi bahawa mereka ahli parti itu yang sah dan Marzuki memohon deklarasi dirinya ialah setiausaha agung parti yang sah.

Mereka juga memohon deklarasi surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei 2020 dan pengesahan berkaitannya melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bertarikh 4 Jun lepas adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka turut memohon deklarasi keahlian Muhyiddin dalam Bersatu terlucut berkuat kuasa pada 28 dan/atau 29 Februari 2020 menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan parti itu, begitu juga dengan Hamzah dan Muhammad Suhaimi.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 tidak terpakai untuk menghalang pelupusan pertikaian oleh mahkamah dan Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu tidak terpakai dalam hal bagi melucutkan/memberhentikan keahlian kesemua plaintif.

Turut dipohon, perintah injunksi dikeluarkan kepada RoS untuk membuat pendaftaran atau pembetulan ke atas semua dokumen parti itu selain memohon ganti rugi am, faedah serta kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – Bernama

One thought on “Bersatu diharamkan? Mahathir, enam lain saman Muhyiddin dan RoS

  • June 10, 2020 at 12:13
    Permalink

    harap nanti hakim mahkamah dapat memberitahu mereka kalau nak sah buat parti baru je lah

    Reply

Leave a Reply