Agong ada kuasa isytihar darurat negara

Share

SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat bagi mengelak krisis politik berlanjutan berikutan sikap ahli politik kerajaan dan pembangkang saling bertelagah untuk menguasai kerajaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata, pengisytiharan darurat negara sekali gus memberi ruang bagi memperbetulkan keseluruhan sistem melibatkan politik, ekonomi dan sosial sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Menurutnya, sikap segelintir ahli politik yang disifatkan keras kepala dan sibuk dengan perebutan kuasa hanya akan menjejaskan masa depan generasi akan datang.


“Pada pandangan saya, Agong boleh isytiharkan negara ini dalam keadaan darurat.

“Boleh, saya percaya boleh. Inilah masa terbaik dan apabila Agong berpuas hati baru diadakan PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Sinar Siri 172 bertajuk Kerajaan Beta: Agong & Perlembagaan Persekutuan, anjuran bersama Kursi Institusi Raja-raja Melayu UiTM di Dewan Karangkraf Seksyen 15 di sini malam tadi.


Wacana sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI itu turut membariskan panelis, Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling dan Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Profesor Datuk Teo Kok Seong dan personaliti TV, Amin Idris selaku moderator.

Mengulas lanjut Ibrahim Shah berkata, sepanjang tempoh darurat tersebut, negara dapat menyusun kembali kesilapan lampau termasuklah dari aspek pendidikan membabitkan sekolah vernakular.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya pembangkang berjaya membuat undi tidak percaya pada sidang Parlimen Julai ini, langkah wajar ialah pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan.


“Sekarang ini berbagai-bagai langkah diambil oleh parti pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.

“Bukan sahaja pembangkang, pada saya dalam parti pemerintah pun ada masalah sebenarnya. Tak ada kerja lain, lompat situ, cantum situ, gabung, sampai bila?” katanya.

SH

Leave a Reply