Kita masih ada ruang, kemampuan kewangan – Tengku Zafrul (video)

MALAYSIA mempunyai ruang dan kemampuan kewangan untuk terus merangsang ekonomi dan memperkasakan rakyat jika sesuatu di luar jangkaan berlaku untuk tempoh akan datang.

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu bagi memenuhi keperluan fasa pemulihan dalam menangani cabaran pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kenaikan defisit melebihi sasaran sebelum ini adalah tidak penting dalam keadaan semasa, asalkan kerajaan mempunyai perancangan teliti dan keupayaan untuk membayar semula hutang, sekali gus menurunkan nisbah hutang berkenaan.

Tokoh perbankan itu yang genap tiga bulan hari ini menggalas tanggungjawab besar mengetuai perbendaharaan negara, berkata susulan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pakej Prihatin Tambahan PKS dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Jangka Pendek (PENJANA) yang menyaksikan suntikan fiskal langsung sebanyak RM45 bilion, melonjakkan defisit fiskal negara kepada 5.8 hingga 6.0 peratus.

Katanya, suntikan dijana menerusi instrumen hutang iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII), maka hutang Kerajaan Persekutuan berada pada had statutori 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Kementerian Kewangan bersedia membawa perkara itu ke Parlimen bagi mendapat kelulusan, jika keadaan memerlukan untuk menaikkan had statutori berkenaan.

“Ruang fiskal untuk menangani COVID-19 masih ada jika ia berlarutan. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tentunya bersedia untuk perkara luar jangka. Dalam keadaan sebegitu, demi negara dan rakyat, melepasi sasaran angka defisit sudah tidak begitu penting.

“Paling utama untuk kerajaan sekarang adalah menyelamatkan negara dan rakyat.

“Kita mesti ada komitmen untuk memberitahu agensi penarafan dan rakyat, bahawa kerajaan mempunyai perancangan teliti dan mampu menurunkan defisit itu apabila ekonomi kembali stabil.

“Kalau kita tidak mempertahan rakyat dan perniagaan, maka sukar untuk ekonomi pulih dengan pantas,” tegas beliau.

Tengku Zafrul juga berkata, Kementerian Kewangan juga komited untuk memastikan semua perancangan yang diumumkan kerajaan termasuk PENJANA dilaksanakan dengan cekap dan lancar serta mencapai matlamat.

“Paling penting bukan setakat berjanji, tetapi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat, kita akan memantau pencapaian semua kementerian dan agensi terbabit setiap minggu” katanya.

Dalam temubual eksklusif dengan BH, semalam Tengku Zafrul juga berkata, sekarang adalah masa sesuai bagi perniagaan dan industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mentransformasi cara beroperasi dengan kebiasaan baharu.

Berikut adalah perincian temubual penuh Wartawan BH, Kamarulzaidi Kamis dan Mahanum Abdul Aziz, dengan Tengku Zafrul, untuk berkongsi mengenai pakej rangsangan terbaharu bersaiz RM35 bilion itu.

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – NSTP/Mohd Fadli Hamzah
S: Boleh kongsi pengalaman perjalanan setakat ini memegang jawatan Menteri. Apakah perbezaan berbanding sektor korporat?

J: Saya datang di sini ketika tempoh amat mencabar dari segi ekonomi. Saya rasa kita tidak pernah melihat cabaran ekonomi seperti ini kerana pandemik. Kita harus memikirkan penyelesaian ‘di luar kotak’ kerana kita tidak pernah melihat masalah ini sebelumnya. Semasa saya berada dalam sektor perbankan, terdapat banyak masalah dan anda perlu tahu apakah jalan penyelesaian yang mungkin sebelum membuat keputusan terbaik. Apabila bertanya kepada rakan sejawat di negara lain, mereka juga mengatakan ini pengalaman baharu untuk mereka juga. Satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan melihat apa yang penting bagi negara dan belajar sebanyak mana yang boleh. Contohnya, China, Korea Selatan dan Jepun mengalaminya (krisis COVID-19) sebelumnya.

Cuba belajar daripada yang mereka lakukan dengan betul dan salah. Sebilangan besar masalah yang kami hadapi dalam tiga bulan lalu adalah memastikan apa yang penting untuk kami pulihkan. Itulah sebabnya proses pemulihan penting. Sekiranya kita tidak melakukan apa-apa dalam tiga bulan lalu, maka ketika kita ingin memulakan semula dan pulih, ia akan menjadi sangat sukar. Itulah sebabnya mengapa kita harus menyuntik lebih banyak wang. Fungsi korporat sangat berbeza dengan kerajaan. Objektif korporat sangat jelas: untuk memaksimumkan pulangan kepada pemegang saham.

Di sini (sebagai kerajaan), anda bertanggungjawab kepada rakyat dan bekerja dengan gambaran objektif yang lebih besar. Persamaannya adalah pelaksanaan. Satu perkara yang saya pelajari adalah dalam semua perancangan yang kita lakukan, kejayaan diukur dengan pelaksanaan. Walaupun di pihak korporat atau kerajaan, pelaksanaan penting. Itulah sebabnya kami menubuhkan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

Kami memastikan setiap minggu ada laporan mingguan. Mendesak agensi untuk menyampaikan. Oleh itu, setiap minggu, kita akan memberitahu rakyat bahawa inilah yang telah kita lakukan minggu ini. Kami terus mengemas kini. PRIHATIN dan PENJANA bukan usaha saya saja. Semua orang bekerjasama. Itu penting. Malah, 40 inisiatif di bawah PENJANA membabitkan begitu banyak kementerian. Yang penting semua orang bekerjasama.

S: Boleh dikatakan Tengku menggalas tugas ketika negara berdepan tempoh amat mencabar. Boleh Tengku kongsi pengalaman dalam merangka pakej rangsangan sejak Mac dan terbaharu PENJANA dengan 40 inisiatif dalam tempoh yang singkat?

J: Ia sukar, tetapi jika melihat kepada apa yang dibuat setakat ini, terutama di pihak kerajaan, PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) adalah ujian pertama saya. Baru masuk bertugas beberapa hari, Perdana Menteri mahukan pakej ini (PRIHATIN) dan kami perlu membuatnya dengan segera. Tetapi untuk PENJANA, kami diberi sedikit masa, jadi kami mempunyai tiga minggu untuk melakukannya. Kita dapat mengadakan banyak pertemuan dan mendapatkan maklum balas. Saya rasa kita berhubung secara rapat dengan lebih 100 pertubuhan. Kita pecahkan mengikut sektor oleh kumpulan minat yang berbeza. Kami mahu lakukan dengan betul, yang mana kami memerlukan maklum balas secara langsung dari dalam dan luar.

S: Berbilion ringgit diperuntukkan kerajaan dalam pelan rangsangan pemulihan terbaharu dan sebelum ini. Ia tentunya meningkatkan defisit negara, apakah komen anda mengenai perkara ini? Adakah Malaysia mampu berdepan defisit yang tinggi?

J: Defisit Malaysia diunjurkan meningkat kepada enam peratus tahun ini selepas PENJANA. Sebelum ini, dalam Belanjawan 2020, defisit diunjurkan sekitar 3.4 peratus. Selepas PRIHATIN, unjuran defisit fiskal 2020 meningkat daripada 3.4 peratus kepada 4.7 hingga 5.0 peratus dan dengan PENJANA ia diunjurkan antara 5.8 hingga 6.0 peratus. Angka itu tidaklah terlalu tinggi. Ia perlu dilihat dari segi keupayaan membayar semula hutang negara. Defisit tertinggi yang pernah kita catat adalah pada 2009 iaitu 6.7 peratus ketika krisis kewangan global.

Sebelum ini nisbah hutang (dalam negeri) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih di bawah 55 peratus, namun dengan PENJANA dan PRIHATIN ia meningkat kepada antara 55 hingga 55.6 peratus. Jadi, ia masih dalam lingkungan kemampuan. Kalau kita melepasi had statutori 55 peratus, kita akan bawa isu ini ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan. Dari segi pinjaman, kita ada had pinjaman asing sebanyak RM35 bilion. Sekarang dalam lingkungan 15 peratus lebih rendah dari tahap siling kita. Bagi pakej PRIHATIN dan PENJANA, kita tidak akan membuat pinjam dari luar. Semua dalam mata wang tempatan.

S: Bagaimana dengan suntikan langsung RM10 bilion dalam PENJANA?

J: Suntikan fiskal langsung sebelum ini RM35 bilion (PRIHATIN), dengan PENJANA lagi RM10 bilion disuntik. Justeru, jumlah keseluruhan adalah RM45 bilion. Ini akan menaikkan paras siling hutang dalam negeri daripada 52 peratus kepada 55 peratus atau 55.6 peratus. Namun begitu, semuanya bergantung kepada KDNK. Sekarang masih ada banyak ruang. Semua dana untuk pakej rangsangan dijana dari Sekuriti Hutang Kerajaan dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

S: Jika situasi bertambah buruk, berapa banyak lagi kerajaan akan suntik dan adakah negara mempunyai ruang fiskal untuk berbuat demikian?

J: Kita sentiasa fikir dari segi senario kes terburuk. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu tahu apa persediaan dan peruntukkan yang diperlukan. Bagi saya, melepasi angka (sasaran) defisit tidak terlalu penting kerana kita perlu melindungi negara dan rakyat. Apa yang penting, kita mempunyai komitmen untuk memberitahu agensi penarafan dan rakyat bahawa kita akan mengurangkannya (defisit) kembali sebaik saja ekonomi stabil.

Kalau dilihat di peringkat global, kebanyakan negara berbuat demikian iaitu untuk melindungi rakyat dan ekonomi. Kita juga buat demikian, namun kita perlu mempunyai pelan mantap selepas ini. Kita tidak boleh biar defisit antara 6.0 hingga 7.0 peratus terlalu lama. Pada 2009, defisit kita mencecah 6.7 peratus, namun kita berjaya mengurangkannya kepada 3.0 peratus selepas itu. Kami sudah menjelaskan kepada agensi penarafan dan mereka memahaminya.

S: Apakah tumpuan kerajaan dalam menguruskan kedudukan defisit negara?

J: Fokus ketika ini adalah memastikan kita melindungi rakyat dan ekonomi dalam tempoh terdekat. Banyak suntikan adalah secara ‘one-off’ (sekali sahaja). Jadi, pinjaman akan berkurangan tahun hadapan. Rakyat dan perniagaan bertambah baik, ekonomi mencatatkan kemajuan, pinjaman akan rendah dan pada masa sama, pendapatan atau KDNK juga akan meningkat. Disebabkan defisit adalah nisbah hutang daripada KDNK, maka ia akan berkurangan secara beransur-ansur apabila KDNK meningkat.

S: Apa akan berlaku kalau tidak ada tindakan dilakukan dalam melindungi rakyat dan perniagaan?

J: Kalau kita tidak melindungi pekerja dan perniagaan, adalah sukar untuk memulihkan ekonomi, ia akan ambil masa lama untuk pulih. Jika tidak menyokong industri, dan mereka tutup operasi sepenuhnya, dan pembukaan semula akan mengambil masa, pemulihan akan menjadi perlahan. Contohnya pelancongan, orang hendak berbelanja, tetapi nak berbelanja macam mana bila hotel tidak ada, tempat tumpuan pelancongan ditutup. Ia ambil masa dua hingga tiga bulan untuk dibuka semula. Oleh sebab itu, kita perlu mengekalkan kapasiti terus utuh.

S: Mengenai keupayaan kewangan negara, kerajaan terdahulu memberitahu negara kita sudah banyak hutang dan tidak mampu membuat hutang lagi, tetapi bagaimana kerajaan sekarang dapat berbuat demikian?

J: Kalau melihat dari segi defisit, memang tinggi. Tetapi ia bergantung bagaimana anda melihat perkara itu pada satu-satu masa. Bagi saya, apakah sasaran anda? Jika sasaran anda defisit satu peratus atau sifar, sudah pasti kita kata kerajaan tidak boleh.

Bagi saya, anda perlu realistik. Kita berada dalam krisis. Walaupun kita tidak berada dalam krisis, kita adalah negara yang sedang membangun. Pendapatan kita, suka atau tidak, hampir 20 peratus adalah pendapatan minyak. Kita perlu mempelbagaikannya. Bagi saya, selagi wang kita dibelanjakan dengan betul, pinjaman kalau boleh dibuat untuk perbelanjaan pembangunan dan pulangan jangka panjang yang baik.

Namun, jika kita belanja dalam perbelanjaan mengurus, di situlah kita harus sangat berhati-hati kerana perbelanjaan itu kurang produktif. Kita mempunyai keupayaan. Saya rasa jika (hutang) digunakan dengan betul, tidak mengapa dan kita mempunyai keupayaan. Katakan jika kita tidak berbelanja langsung, saya rasa ekonomi kita hanya dapat pulih apabila seluruh dunia pulih. Kita mesti ingat bahawa wabak COVID-19 tidak hanya memberi kesan kepada Malaysia. Kita adalah sebahagian daripada ekonomi global.

Malaysia mempunyai ruang dan kemampuan kewangan untuk terus merangsang ekonomi dan memperkasakan rakyat jika sesuatu di luar jangkaan berlaku untuk tempoh akan datang. – NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Malaysia mempunyai ruang dan kemampuan kewangan untuk terus merangsang ekonomi dan memperkasakan rakyat jika sesuatu di luar jangkaan berlaku untuk tempoh akan datang. – NSTP/Fariz Iswadi Ismail
S: Berapa pantas kita boleh pulih daripada pandemik ini?

J: Bergantung kepada ekonomi global. Nisbah dagangan Malaysia kepada KDNK melebihi 100 peratus. Sekiranya anda melihat sektor eksport, kita membukanya terlebih dulu. Kita sebenarnya buka sedikit demi sedikit. Walaupun kita memberitahu sektor pembuatan untuk buka, ia masih belum mencapai kapasiti 100 peratus kerana permintaan tidak ada. Ekonomi dunia perlahan, jadi permintaannya masih rendah.

Kadar pemulihan kita akan bergantung kepada permintaan, baik dalam negeri mahupun global. Kedua, ia bergantung kepada betapa teruknya industri yang terjejas. Itulah sebabnya kami memperkenalkan subsidi upah, moratorium dan lain-lain, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maka mereka akan dapat pulih lebih cepat. PKS adalah penting. Seperti yang kita tahu, mereka masih menyumbang sekitar 38 peratus kepada KDNK kita dan dari segi pekerjaan menggaji 70 peratus tenaga kerja.

S: PENJANA mempunyai 40 inisiatif. Berapa banyak ia akan memberi impak kepada kehidupan rakyat dan perniagaan?

J: Subsidi upah setakat akhir Mei sudah menyelamatkan 2.2 juta pekerja. Had gaji sehingga RM1,200 sebulan dibayar oleh kerajaan. Saya rasa tanpa subsidi upah ini, banyak syarikat tidak dapat mengekalkan pekerja mereka. Jika, anda melihat kepada PENJANA, kita juga menyediakan subsidi kira-kira RM1.5 bilion untuk pengambilan pekerja. Kita juga menyediakan RM2 bilion untuk latihan semula dan peningkatan kemahiran.

S: Siapa yang mengendalikan latihan semula?

J: Butiran lanjut mengenainya akan diumumkan nanti. Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan akan melihat secara teliti. Agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan banyak lagi agensi lain akan terbabit. Kami akan memasukkan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan sebagainya kerana kami mahu meliputi sebanyak mungkin sektor pekerjaan. Kita juga bekerjasama dengan majikan, apakah kemahiran yang anda perlukan.

Ia mungkin membabitkan kemahiran yang ‘simple’. Satu lagi sektor adalah ekonomi gig. Jadi, kita perlu memberi latihan dan kemahiran semula untuk membolehkan mereka yang terjejas bekerja sendiri. Kita bukan saja membantu mereka mendapatkan pekerjaan, tetapi menyediakan mereka dengan kemahiran supaya mereka boleh bekerja sendiri dalam ekonomi gig.

S: Bagaimana dengan kadar pengangguran?

J: Kami melihat kepada pengangguran, angka rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tempoh tiga bulan pertama adalah 3.9 peratus, sebelum itu 3.3 peratus. Jabatan Perangkaan mengunjurkan kadar pengangguran akan meningkat kepada 5.5 peratus hujung tahun ini.

Jadi, kami perlu pastikan yang terbaik untuk membantu majikan mengekalkan pekerja mereka dan pada masa sama, kami perlu mengakui dalam keadaan ekonomi semasa tidak banyak syarikat boleh terus beroperasi walaupun dengan subsidi upah dan bantuan kerajaan. Jadi, kita mahu membantu mereka melatih semula pekerja mereka dan memantapkan kemahiran untuk mencari pekerjaan baharu.

Kita perlu ingat bahawa ramai yang akan memasuki pasaran pekerjaan. Jadi, kami perlu pastikan syarikat mewujudkan laluan baharu terutama bagi ekonomi baharu dan kemudian kita akan bagi subsidi pengambilan pekerja.

S: Adakah pengangguran terkawal dan jika tidak ada PENJANA, apa akan berlaku?

J: Kalau tidak ada PRIHATIN dan PENJANA, saya rasa jumlah menjadi lebih besar kerana lebih banyak syarikat tidak boleh beroperasi dan ditutup.

Jadi, kita mahu mereka mengekalkan pekerja seboleh yang mungkin. Kami melihat syarikat juga mahukan demikian kerana apabila ekonomi pulih, tetapi tidak ada orang untuk bekerja, mereka perlu ambil masa untuk menggaji pekerja dan melatih pekerja. Jadi, mereka perlu mengekalkan pekerja seboleh mungkin berdasarkan keperluan mereka.

S: PKS antara sektor paling penting untuk ekonomi dan amat terjejas. Bagaimana kerajaan boleh membantu PKS?

J: PKS terbahagi kepada mikro, enterprise kecil dan sederhana dan syarikat bersaiz pertengahan. Justeru, mereka mempunyai keperluan bantuan yang berbeza. Kalau dari segi PKS secara meluas tidak termasuk mikro, berdasarkan kajian kami, mendapati 50 peratus daripada mereka tidak mampu bertahan selepas sebulan. Oleh sebab itu, kami memperkenalkan Kemudahan Bantuan Khas (SRF). Setakat ini, di bawah SRF, pinjaman berjumlah RM10 bilion sudah diberikan. Pinjaman itu 80 peratus dijamin kerajaan dengan kadar faedah rendah hanya 3.5 peratus.

Bagi PKS dalam kategori mikro, kami sudah menyediakan peruntukkan RM700 juta, yang mana RM500 juta daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) dan RM200 juta daripada TEKUN Nasional dengan kadar faedah sifar. Bagi syarikat besar bantuan disediakan menerusi Danajamin dengan jaminan 80 peratus. Semua ini, sedikit sebanyak akan membantu PKS dan beberapa syarikat besar. Kita juga menyediakan geran untuk PKS mikro dikenali Geran Khas PRIHATIN (GKP), bantuan kewangan secara ‘one-off’ berjumlah RM3,000 kepada PKS mikro memulakan semula perniagaan. Kita peruntukan RM2.1 bilion kepada mikro PKS. Setakat ini, kita sudah terima 650,000 permohonan.

S: Ada aduan daripada pemohon mendakwa tidak mendapat BPN?

J: Kita ada pangkalan data yang baik untuk B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH). Cuma aduan yang diterima membabitkan golongan M40. Kita sudah bagi kelonggaran untuk mereka membuat rayuan. Selepas rayuan, kita melihat kembali. B40 tidak ada masalah. Data untuk M40 masih baharu, dan kita juga perlu berhati-hati kerana banyak penipuan. Kita tidak mahu penerima yang dapat tapi sebenarnya dia tidak layak. Jadi, salah satu cara kita buat adalah dengan menghubungkan kepada pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

S: Bagaimana insentif untuk menarik pelaburan dalam PENJANA akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan?

J: Rantaian bekalan global memang terjejas akibat COVID-19. Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China juga menjejaskan rantaian bekalan. Banyak negara tidak boleh bergantung kepada China, Eropah dan AS, mereka kena mengubah laluan mereka. Malaysia dari segi lokasi adalah strategik dan kita boleh bantu China dari segi rantaian bekalan, malah rantaian bekalan Eropah kerana kita mempunyai kestabilan. Justeru, insentif pelaburan dan cukai adalah cara untuk menarik pelaburan.

Sudah pasti, setiap negara mempunyai kelebihan masing-masing, tapi bagi kita, kita adalah sebahagian daripada ASEAN dan menjadikan ASEAN sebagai satu hab. Apa yang penting adalah memastikan kita memberi tumpuan dalam bidang mana yang kita kukuh. Apa yang kita belajar, kita perlu meningkatkan rantaian nilai, kita tidak boleh bergantung kepada kos buruh yang murah. Oleh itu, PENJANA menyediakan peluang untuk negara melaksanakan penstrukturan semula yang diperlukan. Penstrukturan sebenar bagi keseluruhan model perniagaan. Insentif yang disediakan dapat menarik industri yang tepat dan memanfaatkan rakyat dari segi kemahiran yang diperlukan.

S: Apakah harapan Tengku terhadap PENJANA?

J: Harapan saya untuk PENJANA ialah supaya pelaksanaannya berjalan dengan baik. Niat kita adalah mahu menolong rakyat dan syarikat yang terbabit. Bagi saya yang penting adalah memastikan pelaksanaannya dibuat dengan betul. Paling penting bukan setakat berjanji, tetapi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat, kita akan memantau pencapaian semua kementerian dan agensi terbabit setiap minggu. Kerana itulah kami tubuhkan LAKSANA untuk memantau. Kita akan memberitahu rakyat bahawa inilah yang kita lakukan minggu ini (setiap minggu) menerusi LAKSANA.

PENJANA adalah pelan yang dinamik. Kita mesti terbuka kepada kritikan dan maklum balas. Kalau ada bidang yang perlu dipertingkatkan dalam tempoh enam bulan, kita perlu terbuka kepada kritikan dan maklum balas dan menyemak semula dengan langkah susulan. Kita mahu buat perkara yang betul, tetapi kadang-kadang berlaku juga kesilapan. Kita perlu belajar daripada kesilapan dan tidak akan buat kesilapan lagi dan terus mempertingkatkannya.

Untuk PENJANA, kami akan pastikan pelaksanaannya berjalan lancar, mendengar maklum balas dan telus serta akan terus memberi perkembangan terkini supaya orang tahu apa kami lakukan.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker