Warga emas ditahan memandu bawah pengaruh alkohol

Terkini di My KMU !!!!---->

PORT DICKSON – [DIKEMASKINI] Polis menahan seorang warga emas selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Port Dickson semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian jam 11.05 malam di Jalan Kampung Baru Sirusa itu, lelaki berusia 71 tahun berkenaan yang memandu kenderaan jenis Mercedes telah diarahkan berhenti oleh anggota polis bagi tujuan pemeriksaan.

“Setelah diarahkan berhenti, pemeriksaan yang dijalankan tidak menemukan sebarang barang salah. Seterusnya, pemandu diarahkan menjalani ujian saringan pernafasan bagi mengesan alkohol dan didapati bacaan ialah 236 mg alkohol dalam 100 ml darah.

“Pemandu itu kemudian dibawa ke pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk menjalani sekali lagi ujian saringan pernafasan menggunakan alat EBA-11 dan bacaan menunjukkan paras alkohol dalam darah ialah 211 mg alkohol dalam 100 ml darah melebihi had ditetapkan iaitu 80 mg alkohol dalam 100 ml darah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis berikutan faktor umur dan kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Leave a Reply