Normal baharu di #PrkDunChini

Oleh AB JALIL BACKER

Kempen pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Chini (DUN Chini) dari 20 Jun hingga 4 Julai merupakan satu ujian kepada kesiapsiagaan sistem demokrasi negara berhadapan pandemik Covid-19 yang belum menampakkan noktahnya.

PRK itu terpaksa diadakan berikutan kematian penyandang jawatan, Datuk Seri Abu Bakar Harun daripada Barisan Nasional (BN). Allahyarham meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada usia 60 tahun, meninggalkan satu rekod prestasi yang membanggakan dan akan dikenang oleh penduduk DUN Chini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abu Bakar memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi, menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

PRK DUN Chini tidak memberi apa-apa kesan yang signifikan kepada pembentukan kerajaan negeri. BN mempunyai 25 daripada 42 kerusi DUN. Dalam masa sama, Pas mempunyai lapan kerusi. Kerjasama Muafakat Nasional menjadikan parti pemerintah Pahang mempunyai 33 kerusi.

Berdasarkan gabungan BN-Pas serta pola sokongan pengundi Melayu yang tinggi kepada gabungan itu, Chini boleh dianggap laluan mudah untuk BN.

Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bertanding bukan sahaja akan mengurangkan risiko merebaknya Covid-19 tetapi juga boleh dianggap membeli semula jiwa pengundi Melayu.

Namun tidak mustahil juga parti politik dalam PH akan meletak calon secara tidak rasmi. Malah tidak mustahil juga akan ada calon-calon bebas tempatan memilih untuk bertanding.

Tanpa PH belum tentu PRK ini akan dimenangi tanpa bertanding oleh BN.

PRK DUN Chini menuntut pengorbanan parti politik, calon, pengundi dan media massa untuk memenuhi normal baharu kempen demokrasi. Setelah berbulan kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak mahu PRK ini menjadi punca jumlah kebolehjangkitan kembali meningkat.

Korea Selatan telah melaksanakan pilihan raya mereka pada April 2020 dan berjaya mengharunginya tanpa peningkatan kes Covid-19. Jadi dari satu sudut, pilihan raya boleh dijalankan dengan selamat jika kena caranya.

Sungguhpun SPR belum mengumumkan normal-normal baharu untuk kempen PRK, namun pertimbangan harus diberi secara serius kepada kehadiran orang ramai di pusat penamaan calon, pengundian dan sepanjang tempoh kempen.

Pertamanya, saya berharap kempen PRK itu dijadikan sekadar pertandingan dalam negeri Pahang sahaja.

Tiada keperluan untuk kerajaan memberi kebenaran kepada pemimpin politik, petugas parti dan media untuk merentas negeri dan berkampung di Chini.

Kempen

Mereka yang berada di luar negeri Pahang tidak seharusnya dibenarkan datang merayu undi atau menyebarkan apa-apa bahan publisiti kempen, walaupun mempunyai kebenaran merentas negeri sebagai wakil rakyat.

Bagi memastikan setiap calon mendapat keadilan dalam kempen, maka RTM sebagai media penyiar kerajaan perlu memberi ruang kepada setiap calon untuk muncul di kaca televisyen selama 30 minit bagi memperkenalkan diri dan bercakap mengenai visi mereka.

Rancangan-rancangan ini harus dibuat secara rakaman bagi mengelak serangan dan fitnah yang melanggar peraturan pilihan raya dan undang-undang negara.

Pemasangan kain rentang dan poster harus dilakukan oleh petugas tempatan sahaja.

Kedua, SPR perlu mengehadkan kehadiran pusat penamaan calon. Salah satunya mungkin mensyaratkan setiap pembeli borang pencalonan hanya dibenarkan membawa maksimum 10 orang. Tidak seharusnya ada perhimpunan dan perarakan beramai-ramai.

Ketiga, pusat penjumlahan undi juga harus menghalang sebarang perhimpunan ramai. Mungkin kaedah sama iaitu setiap calon hanya boleh membawa 10 orang.

Kita tidak mahu sistem demokrasi negara terhenti kerana Covid-19. Justeru, demi kelangsungan proses demokrasi negara, penyesuaian sementara harus dilaksanakan. Bersabarlah buat sementara waktu.

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker