Jaminan keselamatan makanan lebih mencabar

DALAM pasca dunia moden dengan jumlah populasi manusia mencecah seramai lapan bilion, pelaksanaan jaminan keselamatan makanan menjadi lebih mencabar untuk memastikan penduduk dunia mendapat makanan yang selamat.

Keselamatan makanan pada amnya merupakan proses kawalan bagi memastikan makanan bebas daripada pencemaran mikroorganisma, kimia, fizikal dan radiasi yang boleh menjejaskan kesihatan manusia, sekali gus menyebabkan jangkitan penyakit bawaan makanan.

Sehubungan itu, Hari Keselamatan Makanan Sedunia dengan slogan ‘Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama’ disambut hari ini di seluruh dunia selepas diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu.

Dengan adanya Hari Keselamatan Makanan Sedunia, ia menarik perhatian dan memberi inspirasi kepada semua pihak dalam mencegah, mengesan serta menguruskan risiko penyakit bawaan makanan.

Di Malaysia, kerajaan memberikan tanggungjawab memantau keselamatan makanan yang dijual di pasaran termasuk yang diimport dan dieksport kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Pengarah Kanan BKKM, Mohd Salim Dulatti berkata, perancangan, pemantauan dan penilaian aktiviti kawalan keselamatan makanan dilaksanakan melalui BKKM melibatkan peringkat negeri, daerah serta pintu masuk negara.

“Makanan di pasaran tempatan atau diimport perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya bagi memastikan makanan yang dipasarkan selamat,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia dari tahun 2018 sehingga 2019, nilai pengeksportan makanan telah merekodkan pencapaian yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM158.5 bilion.

“Nilai pengeksportan yang tinggi membuktikan kepercayaan negara-negara pengimport terhadap jaminan keselamatan makanan dan kebolehpasaran produk keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mohd Salim berkata, kawalan import makanan di pintu masuk dilaksanakan melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) bagi menguruskan kawalan makanan import berdasarkan kepada risiko.“Pada tahun 2018 hingga 2019, kira-kira 250 juta tan metrik konsainan makanan dengan anggaran nilai RM80 bilion telah diimport ke negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia yang bertemakan ‘Keselamatan Di Pasar’ pada tahun ini, Mohd Salim berkata, kementerian akan mengadakan aktiviti kesedaran keselamatan makanan di pasar kerana ia merupakan tempat utama orang ramai mendapatkan sumber bekalan bahan mentah dan makanan.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Peruma-han dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2019, terdapat sebanyak 480 pasar awam termasuk pasar basah dan pasar kering di seluruh Malaysia yang berlesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Mohd Salim Dulatti
Menurutnya, pelbagai punca pencemaran boleh berlaku di pasar sekiranya pengendalian bahan mentah dan makanan tidak dikendalikan dengan bersih serta selamat.

“Maka, pihak yang bertanggungjawab mengendalikan pengurusan di pasar dan peniaga perlu sentiasa memastikan kebersihan sumber bekalan serta makanan yang dijual,” katanya.

Wujudkan garis panduan pasar bersih

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan bekerjasama dengan pelbagai agensi yang berkaitan untuk mewujudkan satu Garis Panduan Pasar Bersih dan Selamat sebagai rujukan serta panduan kepada pihak pengurusan dan peniaga di seluruh Malaysia.

Pengarah Kanan BKKM, Mohd Salim Dulatti berkata, dengan panduan tersebut, tahap kebersihan dan keselamatan makanan di pasar dapat dipertingkatkan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna.

Menurutnya, BKKM juga merancang untuk mengadakan pertandingan pasar bersih pada tahun ini sebagai sebahagian daripada acara sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia.

“Ia dalam perancangan dan akan mendorong peniaga serta pihak pengurusan pasar untuk memberi lebih penekanan terhadap aspek keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata, Hari Keselamatan Makanan Sedunia menyediakan peluang terbaik untuk mengingatkan semua pihak kepentingan keselamatan makanan tentang peranan yang boleh dimainkan.

“Masyarakat tidak usah panik apabila berdepan dengan perkara-perkara berkaitan keselamatan makanan. BKKM sentiasa memantau isu keselamatan makanan supaya makanan yang diambil terjamin,” katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri yang terdekat atau membuat aduan secara terus melalui laman sesawang http://moh.spab. gov.my atau Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (www.facebook.com/bkkmhq).

INFO

Fakta keselamatan makanan Di seluruh dunia:

– 1 dalam setiap 10 orang mengalami keracunan makanan setiap tahun.

– Sekitar 420,000 kematian setahun disebabkan pencemaran makanan.

– 125,000 kematian kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.

– Makanan tercemar menyebabkan lebih daripada 200 penyakit seperti cirit-birit dan kanser.

– Penyakit bawaan makanan menghalang pembangunan sosioekonomi.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker